KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri melalui Kementerian Kerja Raya dan Utiliti (KKRU) sedang giat melaksanakan pemasangan Bailey Bridge di lokasi jambatan rosak di Km2.85 Jalan Tun Fuad Stephen (Tanjung Lipat) sebagai langkah segera memulihkan semula laluan berkenaan.
Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam berkata, pemasangan jambatan sementara itu bertujuan memastikan pergerakan pengguna jalan raya kembali lebih efektif, selesa dan selamat sementara penyelesaian jangka panjang dilaksanakan.
Beliau berkata, berdasarkan perkembangan semasa di tapak, proses pemasangan Bailey Bridge dijangka mengambil masa sekitar dua hingga tiga minggu untuk disiapkan, bergantung kepada keadaan cuaca dan faktor teknikal di lokasi.
“Kerja-kerja pemasangan Bailey Bridge sedang giat dilaksanakan di lokasi jambatan rosak di Km2.85 Jalan Tun Fuad Stephen (Tanjung Lipat).
“Pemasangan jambatan sementara ini merupakan langkah segera bagi memulihkan semula laluan dan memastikan pergerakan pengguna jalan raya lebih efektif, lebih selesa dan selamat, sementara penyelesaian jangka panjang dilaksanakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr. Joachim Gunsalam
Dr. Joachim berkata, KKRU melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah komited memastikan projek itu dapat disiapkan secepat mungkin demi kepentingan serta keselamatan semua pengguna jalan raya.
Beliau turut meminta orang ramai supaya terus bersabar sepanjang tempoh pelaksanaan kerja selain mematuhi semua arahan dan papan tanda keselamatan yang disediakan di kawasan pembinaan.
“Kementerian Kerja Raya dan Utiliti bersama JKR Sabah akan memastikan kerja-kerja ini disiapkan secepat mungkin demi kepentingan dan keselamatan semua pengguna jalan raya.
“Segala kesulitan yang dialami amatlah dikesali dan kami menghargai kerjasama serta kesabaran semua pihak sepanjang pelaksanaan kerja ini,” katanya.
































