Jasnih menunjukkan anugerah The Edge Malaysia Centurion Club Awards 2026.
KOTA KINABALU: Innoprise Plantations Berhad, anak syarikat Kumpulan Yayasan Sabah (KYS), terus mengukuhkan reputasinya sebagai antara syarikat perladangan berprestasi tinggi apabila menerima pengiktirafan pada The Edge Malaysia Centurion Club Awards 2026 yang berlangsung di Grand Ballroom, Hilton Kuala Lumpur, semalam.
Anugerah berprestij itu diterima bagi pihak syarikat oleh Pengerusi Eksekutif Innoprise Corporation Sdn. Bhd. (ICSB), Datuk Jasnih Daya pada majlis yang menghimpunkan syarikat-syarikat tersenarai di Bursa Malaysia yang mencatat prestasi cemerlang.
Turut hadir ialah Pengarah Urusan Innoprise Plantations Berhad, Datuk Kelvin Tan Aik Pen (kiri), dan Pengarah Eksekutif, Steven Ong Chu Yaw.
The Edge Malaysia Centurion Club Awards, yang diperkenalkan pada 2019, bertujuan mengiktiraf syarikat-syarikat terbaik di Bursa Malaysia dengan nilai permodalan pasaran antara RM100 juta hingga RM1 bilion berdasarkan prestasi kewangan dan penciptaan nilai kepada pemegang saham.
Antara kategori utama yang dipertandingkan ialah Pulangan Tertinggi kepada Pemegang Saham bagi tempoh tiga tahun, Pertumbuhan Tertinggi Keuntungan Selepas Cukai bagi tempoh tiga tahun, dan Pulangan Tertinggi atas Ekuiti (Return on Equity) bagi tempoh tiga tahun, merangkumi pelbagai sektor termasuk perladangan, pembinaan, teknologi, hartanah, tenaga, perkhidmatan kewangan, penjagaan kesihatan, utiliti serta pengangkutan dan logistik.
Turut disampaikan pada majlis berkenaan ialah anugerah kecemerlangan kelestarian berdasarkan rangka kerja FTSE4Good Bursa Malaysia, selain pengiktirafan kepada syarikat yang mencatat prestasi keseluruhan terbaik dalam kalangan ahli The Edge Malaysia Centurion Club.
Pencapaian Innoprise Plantations turut akan dipaparkan dalam sisipan khas pasca majlis yang diterbitkan oleh The Edge Malaysia, sekali gus memperkukuhkan lagi kedudukan syarikat itu sebagai antara pemain utama industri perladangan negara.
Kejayaan itu mencerminkan komitmen berterusan Innoprise Plantations dalam mengamalkan tadbir urus korporat yang baik, meningkatkan prestasi perniagaan serta menjana nilai mampan kepada pemegang kepentingan, selaras dengan aspirasi Kumpulan Yayasan Sabah untuk terus memacu kecemerlangan dan pembangunan ekonomi negeri.
































