Hajiji (kanan) menyampaikan cenderamata kepada Sharma semasa kunjungan hormat di Menara Kinabalu, hari ini.
KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor menerima kunjungan hormat Pesuruhjaya Tinggi United Kingdom ke Malaysia, Ajay Sharma di pejabatnya di Menara Kinabalu di sini hari ini.
Kunjungan itu merupakan pertemuan pertama Sharma dengan Hajiji sejak beliau menyandang jawatan sebagai Pesuruhjaya Tinggi United Kingdom ke Malaysia, sekali gus bertujuan memperkenalkan diri secara rasmi kepada Ketua Menteri.
Hajiji mengalu-alukan kunjungan Sharma ke Sabah dan berharap hubungan erat antara Sabah dengan United Kingdom akan terus diperkasakan.
Sharma dilantik sebagai Pesuruhjaya Tinggi United Kingdom ke Malaysia pada April 2025. Beliau mempunyai pengalaman lebih tiga dekad dalam perkhidmatan diplomatik Britain, termasuk pernah berkhidmat sebagai Duta Britain ke Qatar serta memegang beberapa jawatan kanan di Pejabat Luar Negeri, Komanwel dan Pembangunan United Kingdom.
Turut hadir pada kunjungan hormat itu ialah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Lo Su Fui dan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Ceasar Mandela Malakun.
































