RANAU: Timbalan Ketua Menteri II, Datuk Seri Masidi Manjun menyeru Ketua Kampung dan Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang menerima watikah pelantikan supaya memikul amanah dengan penuh tanggungjawab, integriti dan keikhlasan dalam berkhidmat kepada rakyat.
Masidi yang juga Menteri Kewangan berkata, watikah pelantikan yang diterima bukan sekadar satu pengiktirafan, sebaliknya melambangkan kepercayaan Kerajaan Negeri terhadap pemimpin masyarakat untuk memimpin, menyumbang dan menjadi penggerak pembangunan di peringkat akar umbi.
Beliau berkata, JKKK berperanan sebagai jambatan antara kerajaan dan rakyat dengan memastikan setiap dasar, program serta bantuan kerajaan dapat disampaikan secara berkesan kepada masyarakat.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penyerahan Watikah JKKK Kawasan N.37 Karanaan di Dewan Kampung Mininsalu di sini, kelmarin. Teks ucapan beliau disampaikan oleh Setiausaha Politiknya, Johari Suhaimin.
Masidi berkata, kelulusan Enakmen Ketua Daerah, Ketua Anak Negeri dan Ketua Kampung 2026 membuktikan komitmen Kerajaan Negeri dalam memperkukuh sistem pentadbiran di peringkat akar umbi serta meningkatkan keberkesanan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
Beliau turut mengingatkan semua Ketua Kampung dan Ahli JKKK supaya sentiasa turun padang, mendengar suara masyarakat serta memahami keperluan penduduk bagi memastikan setiap isu dapat ditangani dengan berkesan.
“Kerjasama erat antara pemimpin masyarakat, agensi kerajaan dan komuniti amat penting bagi memastikan usaha pembangunan dapat dilaksanakan secara berkesan demi meningkatkan kesejahteraan rakyat,” katanya.
Pada majlis itu, seramai 46 Pengerusi JKKK dan dua Ketua Kampung bagi DUN Karanaan menerima watikah pelantikan.
Dua Ketua Kampung yang dilantik ialah Mohd. Linggas Rasmin dari Kampung Purakogis dan Radzie Aziri Sanin dari Kampung Piasau.
Turut hadir Pegawai Daerah Ranau, Tinus Manggam; Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Karanaan, Suhaimi Manjun; Ketua Daerah Ranau, Muhasip Roman serta lain-lain.
































