Armizan menyampaikan replika cek bantuan kewangan kepada wakil sekolah menengah jenis kebangsaan.
SANDAKAN: Bantuan kewangan kepada sekolah menengah persendirian Cina, sekolah mubaligh dan badan keagamaan bukan Islam di Sabah meningkat lebih daripada dua kali ganda, daripada RM43 juta pada 2020 kepada RM90 juta tahun ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor berkata, sejak Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) diberi mandat mentadbir negeri pada 2020, bantuan kewangan tahunan kepada sekolah Cina, sekolah mubaligh dan badan keagamaan bukan Islam sentiasa ditingkatkan.
Peruntukan itu meningkat daripada RM43 juta pada 2020 dan 2021 kepada RM47 juta pada 2022, RM54.05 juta pada 2023, RM56.75 juta pada 2024 dan RM70 juta pada 2025.
“Tahun ini, Kerajaan memutuskan untuk meningkatkan jumlah keseluruhan peruntukan kepada RM90 juta,” katanya ketika merasmikan Majlis Penyampaian Bantuan Kewangan 2026 kepada sekolah-sekolah Cina dan badan keagamaan bukan Islam bagi Zon Pantai Timur Sandakan di Dewan SJKC Chi Hwa di sini semalam. Teks ucapan beliau disampaikan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd. Ali.
Ketua Menteri berkata, peningkatan peruntukan itu mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam menyokong institusi pendidikan dan keagamaan yang memainkan peranan penting dalam pembangunan modal insan, perpaduan dan kesejahteraan masyarakat di Sabah.
“Diharapkan sumbangan ini dapat membantu menyokong pelbagai aktiviti sekolah-sekolah Cina dan badan keagamaan bukan Islam di seluruh Sabah,” katanya.
Beliau berkata, peningkatan bantuan yang berterusan sejak 2020 membuktikan bahawa apabila ekonomi negeri semakin kukuh dan kedudukan kewangan kerajaan semakin stabil, manfaatnya akan dikembalikan kepada rakyat.
“Ini adalah komitmen Kerajaan GRS untuk memastikan setiap komuniti di Sabah mendapat perhatian yang adil dan menikmati manfaat pembangunan negeri tanpa mengira kaum, agama atau latar belakang.
“Ini melambangkan sokongan dan keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap rakyat tanpa mengira kaum, etnik atau kepercayaan agama. Kita membantu mengikut kemampuan kerajaan dan keperluan rakyat.
“Marilah kita terus bekerjasama memastikan Sabah kekal progresif, aman dan makmur serta terus membangun demi kesejahteraan kita semua,” katanya.
Selaras dengan komitmen itu, Hajiji berkata, Kerajaan Sabah turut mencipta satu lagi pencapaian apabila mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), sekali gus membolehkan pemegang sijil berkenaan melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi milik kerajaan negeri dan memohon biasiswa Kerajaan Negeri Sabah.
“Ini mencerminkan keyakinan kerajaan terhadap kepelbagaian sistem pendidikan yang wujud di negeri ini. Apa yang paling penting ialah melahirkan modal insan berkualiti, berilmu dan mampu menyumbang kepada pembangunan Sabah pada masa depan,” katanya.
Sementara itu, sejumlah RM9 juta telah diluluskan bagi Zon Pantai Timur yang meliputi Sandakan, Beluran, Tongod, Telupid, Paitan, Kinabatangan dan Sukau, iaitu peningkatan sebanyak RM2 juta berbanding 2025.
Daripada jumlah itu, RM4.41 juta diperuntukkan kepada 42 institusi pendidikan yang terdiri daripada sebuah sekolah menengah persendirian Cina, dua sekolah menengah jenis kebangsaan, 10 sekolah jenis kebangsaan Cina, sembilan sekolah rendah dan menengah mubaligh, 18 tadika serta dua sekolah mubaligh swasta.
Sebanyak RM4.58 juta lagi diperuntukkan kepada badan keagamaan bukan Islam yang memberi manfaat kepada 96 gereja daripada sembilan denominasi, 27 tokong Cina dan dua kuil Hindu.
“Tahun ini juga, sebanyak 46 permohonan baharu daripada gereja telah diluluskan. Saya berharap bantuan yang disampaikan hari ini dapat dimanfaatkan sebaik-baiknya bagi kerja-kerja penyelenggaraan, penambahbaikan kemudahan, pembangunan pendidikan dan aktiviti kerohanian demi manfaat masyarakat setempat,” katanya.
Hajiji memberi jaminan bahawa Kerajaan Negeri di bawah kepimpinannya akan terus menjunjung prinsip keadilan, kesaksamaan dan keterangkuman.
“Kita tidak melihat kepada kaum atau agama dalam menyalurkan bantuan. Sebaliknya, kita memberi tumpuan kepada keperluan rakyat dan masa depan negeri yang perlu dibangunkan bersama.
“Inilah semangat yang menjadi panduan kepada Kerajaan GRS sejak diberi amanah mentadbir negeri ini. Saya yakin dengan semangat perpaduan, saling menghormati dan kebersamaan yang menjadi identiti rakyat Sabah, negeri ini akan terus maju, makmur dan stabil.
“Inilah asas yang akan terus memacu Sabah Maju Jaya untuk generasi hari ini dan akan datang,” katanya.
“Sebagai sebuah Kerajaan Negeri yang bertanggungjawab, kita akan terus merancang dan berusaha bersungguh-sungguh menangani pelbagai isu di samping memastikan semua komuniti, tanpa mengira kaum atau agama, menerima bantuan secara adil dan saksama.
“Itulah sebabnya saya sentiasa menyokong dan membantu institusi, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta persatuan yang memerlukan bantuan. Semangat perpaduan dan kebersamaan inilah yang menjadi pegangan Kerajaan GRS sejak kita membentuk Kerajaan Negeri pada 2020,” katanya.
































