PUTATAN: Masyarakat kampung digesa terus cakna dan menjadi “mata dan telinga” kepada kerajaan dalam usaha meningkatkan kualiti persekitaran agar lebih selesa dan selamat.
Ahli Parlimen Putatan, Datuk Ir. Shahelmey Yahya berkata, wakil masyarakat dan ketua-ketua kampung juga perlu memainkan peranan lebih bertanggungjawab dengan mengemukakan laporan kepada pihak berwajib mengenai isu-isu yang berlaku di kawasan masing-masing.
Beliau berkata, langkah itu penting bagi membolehkan kerajaan menerusi jabatan, agensi dan komuniti berkaitan mengambil tindakan menyelesaikan isu keselamatan, infrastruktur serta pelbagai permasalahan setempat.
“Kita mahu semua berganding bahu dalam menunaikan tanggungjawab masing-masing menjaga serta mensejahterakan kampung yang didiami.
“Akar umbi sama ada wakil masyarakat, ketua kampung atau penghuninya juga dialu-alukan menjadi mata dan telinga kita supaya persekitaran kediaman di kampung ini terus dipertingkatkan agar lebih selesa, selamat dan selaras dengan arus kemodenan,” katanya selepas menyertai program walkabout malam sempena Jom Ronda Skim Rondaan Sukarela (SRS) Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Petagas Bersama Pimpinan 2026 di Kampung Sekambu, Petagas, di sini, malam tadi.
Shahelmey yang juga Pengerusi Sabah Oil & Gas Development Corporation Sdn. Bhd. (SOGDC), turut mengadakan tinjauan di sekitar kampung bersama rombongan bagi melihat keadaan struktur dan kemudahan yang terdapat di kawasan berkenaan.
Beliau berkata, program itu merupakan mekanisme terbaik untuk melihat dan menilai sendiri keadaan kampung di Petagas.
“Selain dapat melihat perkembangan isu keselamatan melalui rondaan yang dijalankan pihak penganjur, kita juga dapat meninjau sendiri suasana kampung pada waktu malam yang memperlihatkan beberapa isu seperti lampu jalan yang tidak berfungsi serta struktur bangunan Pos KRT yang berpotensi dibina di sini.
“Sehubungan itu, saya berharap program seperti ini dapat diteruskan pada masa hadapan bagi memastikan lokaliti kampung di Petagas terus berada dalam keadaan selesa dan selamat,” katanya.
































