KUDAT: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Kudat merampas lebih satu tan barang kawalan dalam satu operasi bersepadu (Ops Tiris 4.0) bersama Pasukan Polis Marin Wilayah Empat Kudat di sekitar perairan Pulau Sibogoh, Pulau Banggi, berhampiran sempadan negara, hari ini.
Serbuan yang dijalankan hasil risikan anggota penguat kuasa KPDN itu merupakan sebahagian daripada pelaksanaan Ops Tiris 4.0 Tahun 2026 bagi membanteras aktiviti penyelewengan barang kawalan, khususnya di kawasan hotspot yang dipercayai menjadi lokasi penyimpanan dan pengedaran barang kawalan secara tidak sah.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa Daerah KPDN Cawangan Kudat, Nazatul Shima Karim berkata, hasil operasi itu membawa kepada satu tindakan kes di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
Beliau berkata, ketika serbuan dijalankan, seorang lelaki tempatan didapati menyimpan barang kawalan di sebuah premis yang tidak dilesenkan, membabitkan 432 kilogram gula kasar, 408 kilogram minyak masak paket satu kilogram dan 210 kilogram tepung gandum.
“Lelaki berkenaan telah dilepaskan dengan jaminan polis bagi membantu siasatan lanjut, manakala semua barang kawalan yang terlibat telah disita oleh KPDN dan tindakan selanjutnya akan diambil mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Nazatul berkata, KPDN akan mengambil tindakan penguatkuasaan secara tegas, menyeluruh dan tanpa kompromi terhadap mana-mana individu atau sindiket yang terlibat dalam aktiviti penyelewengan barang kawalan.
“Sebarang cubaan menyalahgunakan subsidi kerajaan atau melanggar peruntukan Akta Kawalan Bekalan 1961 tidak akan dilindungi dan akan dikenakan tindakan undang-undang sewajarnya.
“Tindakan penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan secara berterusan dan lebih agresif, terutama di kawasan yang dikenal pasti sebagai lokasi berisiko tinggi berlakunya aktiviti penyeludupan dan penyelewengan barang kawalan,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pasukan Polis Marin Wilayah Empat Kudat atas kerjasama strategik yang diberikan dalam menjayakan operasi berkenaan, termasuk dari aspek keselamatan anggota, sokongan logistik serta bantuan operasi di lapangan.
Dalam pada itu, beliau mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyelewengan barang kawalan atau salah laku peniaga melalui saluran rasmi KPDN bagi membantu memperkukuh usaha penguatkuasaan di negeri ini.
































