Masidi menerima cenderamata daripada Shukor (dua dari kiri) semasa kunjungan tersebut.
KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri II, Datuk Seri Masidi Manjun menggalakkan pemain industri pelancongan meneroka peluang baharu bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi negeri, selaras dengan komitmen Kerajaan Negeri untuk terus menyokong pembangunan sektor pelancongan.
Beliau yang juga Menteri Kewangan menegaskan bahawa kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dan pemain industri pelancongan amat penting dalam memperkukuh ekosistem pelancongan Sabah, di samping meningkatkan daya tarikan negeri sebagai destinasi pelancongan pilihan.
“Syarikat pelancongan perlu terus memainkan peranan aktif dalam menyokong pembangunan ekonomi negeri melalui sektor pelancongan yang berdaya saing dan mampan, selaras dengan aspirasi Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0,” katanya ketika menerima kunjungan hormat daripada Sedco Travel & Tours yang diketuai oleh Pengerusinya, Mohd. Shukor Mumin di pejabatnya, di sini, hari ini.
Dalam kunjungan tersebut, Masidi diberi taklimat mengenai perkembangan semasa syarikat serta potensi memperkukuh sektor pelancongan dan ekonomi negeri, termasuk usaha memperluas perkhidmatan yang mampu memberi nilai tambah kepada Sabah.
































