Ahmad Zahid (tengah) Arthur (dari kiri) dan Wetrom (dari kanan) ketika ditemui media.
MATUNGGONG : Kerajaan Persekutuan memperuntukkan sebanyak RM4.06 bilion bagi pelaksanaan projek bekalan air luar bandar di seluruh Sabah.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, peruntukan berkenaan mencerminkan komitmen Kerajaan Persekutuan untuk mempercepatkan penyediaan infrastruktur asas khususnya kepada masyarakat luar bandar yang masih berdepan cabaran mendapatkan bekalan air bersih.
“Peruntukan RM4.06 bilion ini diputuskan dan diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan untuk disalurkan kepada Kerajaan Negeri Sabah bagi melaksanakan projek bekalan air luar bandar di seluruh negeri termasuk kawasan pedalaman sebagai usaha memastikan rakyat mendapat akses kepada bekalan air bersih yang lebih baik.
“Peruntukan ini perlu dimanfaatkan sepenuhnya bagi memastikan projek bekalan air dapat dilaksanakan dengan segera dan manfaatnya sampai kepada rakyat yang memerlukan termasuk penduduk di kawasan pedalaman seperti Kudat dan Kota Marudu,” katanya ketika merasmikan Festival Kebudayaan Suku Kaum Rungus di Dewan Pertubuhan Momogun Rungus Malaysia (PMRM) di sini, hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, penyediaan bekalan air bersih merupakan antara keutamaan yang perlu diberikan perhatian serius kerana ia melibatkan keperluan asas serta kesejahteraan rakyat.
“Kerajaan Persekutuan sangat menyayangi rakyat Sabah, Sarawak dan juga masyarakat di kawasan desa serta luar bandar. Sebab itu peruntukan yang besar ini diberikan bagi memastikan rakyat mendapat kemudahan asas yang sewajarnya,” katanya.
Beliau turut berharap pelaksanaan projek berkenaan dapat dipercepatkan supaya manfaatnya dapat dinikmati rakyat dalam tempoh yang sewajarnya tanpa mengira jarak dan kedudukan kawasan kediaman mereka.
Pada masa sama, beliau menegaskan bahawa Kerajaan Persekutuan akan terus memberikan perhatian terhadap pembangunan Sabah khususnya dalam aspek infrastruktur dan kemudahan asas yang memberi kesan langsung kepada kehidupan rakyat.
Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Zahid turut menyatakan sokongan terhadap usaha menaik taraf Daerah Kecil Matunggong kepada daerah penuh dan akan mengadakan perbincangan bersama Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, serta barisan Kabinet berhubung perkara itu.
“Ini amat penting kerana apabila Matunggong dinaik taraf sebagai daerah penuh, peruntukan pembangunan dapat disalurkan dengan lebih khusus dan menyeluruh sekali gus membantu memajukan Matunggong, Parlimen Kudat dan kawasan Marudu secara keseluruhannya,” ujarnya.
Selain itu, Ahmad Zahid turut mengarahkan agensi berkaitan, khususnya di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), supaya memulakan kerja-kerja membaik pulih Dewan Komuniti Matunggong bagi memastikan kemudahan berkenaan dapat dimanfaatkan oleh masyarakat setempat.
Turut hadir, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup, Presiden Pertubuhan Momogun Rungus Malaysia, Datuk Wetrom Bahanda yang juga Ahli Parlimen Kota Marudu serta Ahli Parlimen Kudat, Datuk Verdon Bahanda.
































