Isnin (tengah) beramah mesra dengan warga PAWE Beaufort.
BEAUFORT : Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) tampil dengan pendekatan baharu menerusi aktiviti berjalan kaki dalam program Langkah Jiwa Merdeka bagi mendekati masyarakat, sekali gus menyemarakkan semangat patriotisme sempena Bulan Kemerdekaan dan Hari Sabah.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Isnin Aliasnih @ Liasnih berkata, pendekatan berjalan kaki memberi pengalaman berbeza berbanding konvoi kenderaan yang dilaksanakan sebelum ini, namun matlamatnya tetap sama iaitu mendekati dan menyantuni rakyat.
“Mereka seronok dan gembira apabila kita turun bersama-sama mengibarkan Jalur Gemilang.
“Program sebegini kita buat secara sederhana, tetapi kesannya mendalam kepada rakyat kerana kita dapat berjumpa dan berinteraksi dengan mereka secara lebih dekat,” katanya ketika ditemui media selepas menyertai program Langkah Jiwa Merdeka di Tamu Mingguan Dataran Bagandang, di sini, pada Sabtu.
Program berkenaan turut menyaksikan para peserta turun padang menyantuni komuniti setempat sambil mengedarkan Jalur Gemilang, sekali gus memberi peluang kepada masyarakat berinteraksi secara langsung bersama rombongan peserta KMJG.
Menurut Isnin, pendekatan turun padang itu turut membolehkan pihaknya melihat sendiri aktiviti masyarakat, termasuk kegiatan perniagaan yang diceburi golongan muda.
“Hasil tinjauan mendapati terdapat peniaga muda yang mampu memperoleh pendapatan antara RM150 hingga RM500 sehari.
“Itu membuktikan peluang ekonomi sentiasa tersedia kepada golongan muda sekiranya mereka berusaha merebut peluang yang ada.
“Peluang sebenarnya banyak tersedia. Cuma antara kita mahu atau tidak. Saya yakin anak-anak muda kita boleh maju ke hadapan,” katanya.
Dalam pada itu, Isnin menolak pandangan bahawa program mengibarkan Jalur Gemilang merupakan satu pembaziran, sebaliknya menyifatkannya sebagai usaha penting untuk meningkatkan kesedaran dan semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat.
“Dulu kita menggunakan konvoi kenderaan, sekarang kita berjalan kaki. Konsepnya sama, cuma caranya berbeza.
“Yang penting kita turun bersama rakyat dan mendekati mereka,” tambahnya lagi.
Selain itu, program seperti KMJG bukan sahaja menggalakkan rakyat mengibarkan Jalur Gemilang, malah menjadi platform untuk mengingatkan masyarakat mengenai sejarah kemerdekaan serta kepentingan menghayati sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Sabah.
Terdahulu, Isnin turut merasmikan Jualan Rahmah MADANI di Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Beaufort, selain beramah mesra bersama warga emas di pusat berkenaan.
Turut hadir, Pengarah Penerangan Sabah, Jainisah Mohd Noor, Penolong Pegawai Tadbir, Pejabat Daerah Beaufort, Azlan Rizwan Zaman serta Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Beaufort, Rosli Suhaili.
































