Sesi penerangan daripada urusetia serta wakil daripada RELA.
TUARAN : Seramai 120 pelajar menyertai Digital Race sempena program SKILLBOX@Kelab Malaysiaku Zon Sabah dan Wilayah Persekutuan (W.P) Labuan 2026.
Program anjuran Jabatan Penerangan (JAPEN) Sabah itu berlangsung di Pusat Latihan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) di sini, pada Jumaat.
Antara sekolah yang menyertai program itu ialah daripada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK), Tansau, SMK Tamparuli, SMK Badin, SMK Bandaraya, SMK Inanam, SMK Labuan, SMK Lajau, SMK Mutiara, SMK Pantai, SMK Rancha-Rancha, SMK ST Anne, SMK ST Anthony, SMK Taman Perumahan Bedaun, Sekolah Menengah Sains Labuan dan Kolej Vokasional Labuan.
Dalam program tersebut, peserta perlu mengharungi lima titik semak antaranya Susun Suai, Visual Kreatif, Cari Tahu, Konten Kreatif dan Peka Bahasa. Setiap kumpulan diwajibkan menyelesaikan setiap tugasan yang diberi pada setiap titik semak dengan pantas sebelum dinobatkan sebagai pemenang.
Kumpulan 10 muncul tempat pertama apabila berjaya menamatkan semua tugasan di setiap titik semak dengan pantas, diikuti kumpulan 5 memperoleh tempat kedua manakala kumpulan 1 di tempat ketiga.
Turut diadakan taklimat daripada urusetia, modul kepimpinan dan jati diri serta sesi pengenalan dan ice breaking para peserta.
Hadir sama, Ketua Penolong Pengarah (KPP), Bahagian Gerak Saraf dan Pengurusan Isu (BGSPI), Sulia Banying Anak Gihang, KPP Bahagian Penerbitan Dasar Negara (BPDN), Norehan Kipli, KPP Bahagian Komunikasi Visual dan Senireka (BKVS) Razif Chek Hashim dan KPP Bahagian Media Siber (BMS), Dayang Suria @ Melina Salleh.
Untuk rekod, SKILLBOX@Kelab Malaysiaku berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat hingga Ahad, diisi dengan pelbagai program kenegaraan yang boleh membentuk nilai jati diri, semangat patriotisme serta memupuk literasi digital para peserta.
































