Saifuddin (belakang, lapan dari kiri) bergambar kenangan bersama delegasi asing dan tetamu jemputan.
SANDAKAN : Sebanyak RM723 juta telah dilaburkan dalam tempoh 13 tahun bagi memperkukuhkan tahap keselamatan di Zon Selamat Sabah Timur (ESS Zone).
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, usaha memperkukuh keselamatan di ESS Zone menjadi asas kepada peningkatan keyakinan terhadap Pantai Timur Sabah, sekali gus menyokong pelancongan, pemuliharaan, pembangunan lestari dan pertumbuhan ekonomi di kawasan berkenaan.
“Segala yang anda alami hari ini bermula dengan satu elemen penting iaitu keselamatan.
“Kerajaan Malaysia telah melabur RM723 juta dalam tempoh 13 tahun bagi memperkukuh keselamatan di kawasan ESS Zone melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN), ESSCOM dan agensi keselamatan lain.
“Hasilnya, Alhamdulillah, kita kini berada pada kedudukan yang jauh lebih baik,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Program Taklimat dan Tinjauan Keselamatan Bersama Perwakilan Asing ke ESS Zone Tahun 2026 di sini, pada Sabtu.
Beliau berkata, hasil beberapa siri program tinjauan berkenaan dapat dilihat melalui perubahan nasihat perjalanan oleh beberapa negara, termasuk Jepun, yang menunjukkan peningkatan jumlah pelawat daripada 6,000 kepada 9,000 pada tahun berikutnya.
“Wakil Kedutaan Jepun mengikuti acara kita untuk dua tahun berturut-turut. Ini sebagai contoh yang kita boleh beri,” ujarnya.
Saifuddin berkata program itu dirangka bukan sekadar sebagai lawatan ke lokasi tarikan Sabah, tetapi bagi membolehkan perwakilan asing mengalami sendiri realiti Pantai Timur Sabah kerana keadaan sebenar lebih baik difahami melalui pengalaman.
Jelasnya, aspek keselamatan menjadi asas kepada pemuliharaan dan pembangunan lestari, termasuk usaha melindungi biodiversiti Sabah melalui kerjasama antara agensi Persekutuan dan Negeri, organisasi pemuliharaan serta komuniti tempatan.
“Keselamatan mencipta keyakinan. Keyakinan membolehkan pemuliharaan.
“Pemuliharaan menyokong pembangunan lestari dan pembangunan lestari menjana pertumbuhan ekonomi,” jelas beliau.
Dalam pada itu, beliau mendedahkan Malaysia kini berada di kedudukan ke-12 daripada 165 negara dalam Indeks Keamanan Global dan menyasarkan kedudukan dalam kelompok 10 terbaik menjelang Rancangan Malaysia Ke-13.
Saifuddin turut menyeru perwakilan asing berkongsi pemerhatian mereka dengan kerajaan masing-masing dan menyokong semakan terhadap nasihat perjalanan sedia ada berkaitan ESS Zone.
Beliau berkata Malaysia menghormati hak berdaulat setiap negara untuk mengeluarkan nasihat perjalanan, namun ia perlu mencerminkan realiti semasa berdasarkan fakta terkini, penilaian objektif dan pengalaman sebenar.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Australia dan Republik Korea atas penilaian semula secara konstruktif terhadap nasihat perjalanan mereka, selain menghargai usaha Jepun yang telah menyemak dan mengemas kini nasihat perjalanan sebanyak dua kali.
“Kita juga baru-baru ini mengalu-alukan keputusan Amerika Syarikat untuk melakukan semakan yang sama,” katanya.
Saifuddin berkata sejak Januari 2020, tiada satu pun kes penculikan untuk wang tebusan dilaporkan, yang disifatkannya sebagai satu pencapaian yang membanggakan.
“Keselamatan bukan hanya diukur melalui ketiadaan ancaman tetapi ia diukur melalui keyakinan untuk memulihara, peluang untuk membangun dan kebebasan untuk komuniti berkembang maju,” katanya.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zainudin Aman, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Dr. Awang Alik Jeman dan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Joniston Bangkuai yang juga Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah.
































