Julita (dua dari kanan) merasmikan Sambutan Hari Bapa Peringkat Negeri Sabah bersama Abdul Shukur (dua dari kiri), Shahriah (kiri) dan Henry.
PENAMPANG: Ibu bapa khususnya golongan bapa diseru untuk meluangkan lebih banyak masa berkualiti bersama anak anak kerana kehadiran mereka memainkan peranan penting dalam perkembangan emosi dan pembentukan sahsiah anak.
Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Julita Majungki berkata, peranan seorang bapa melangkaui tanggungjawab sebagai penyedia nafkah kerana mereka juga merupakan pembimbing, pelindung dan teladan yang membentuk nilai, disiplin serta keyakinan diri anak-anak.
Menurutnya, kasih sayang seorang bapa sering dizahirkan melalui pengorbanan, usaha dan tanggungjawab terhadap keluarga walaupun tidak semestinya diungkapkan secara lisan.
“Ambillah peluang dan tanggungjawab untuk hadir dalam kehidupan anak-anak, bukan sahaja sebagai penyedia keperluan material tetapi juga sebagai sumber sokongan emosi, pembimbing dan inspirasi setiap hari.
“Anak-anak akan mencontohi apa yang mereka lihat. Jika kita mahukan generasi yang berakhlak, berdisiplin dan berdaya tahan, perubahan itu perlu bermula daripada ibu bapa sendiri,” katanya ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Bapa Peringkat Negeri Sabah 2026 bertemakan ‘Sehebat Kasih Bapa’ di sini hari ini.
Julita turut menggalakkan golongan bapa agar saling memberi sokongan antara satu sama lain dalam menghadapi cabaran kehidupan dan keibubapaan supaya dapat terus memimpin keluarga dengan lebih baik.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri melalui Kementerian Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat (KWKKR) akan terus bekerjasama dengan pelbagai pihak termasuk Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) bagi memperkukuh institusi keluarga menerusi pelbagai program pendidikan kekeluargaan, pembangunan komuniti dan sokongan kepada ibu bapa.
“Saya berharap tema Sehebat Kasih Bapa menjadi inspirasi kepada seluruh masyarakat untuk terus menghargai pengorbanan seorang bapa serta mengiktiraf peranan mereka dalam membina keluarga yang bahagia dan sejahtera,” katanya.
Turut hadir Ketua Pengarah LPPKN, Dato Abdul Shukur Abdullah; Pengarah LPPKN Sabah, Shahriah Saharom; Timbalan Setiausaha Tetap KWKKR, Henry Idol; dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Wanita (JHEWA) Sabah, Haslina Ismail.
































