Wilfred Madius Tangau
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri disaran menubuhkan Dana Amanah Pembangunan Anak Negeri Sabah sebagai instrumen kewangan jangka panjang bagi membiayai pembangunan masyarakat Anak Negeri.
ADUN Tamparuli, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata, sudah tiba masanya untuk memikirkan model pembiayaan baharu bagi memperkukuh Majlis Hal Ehwal Anak Negeri Sabah memandangkan sesebuah institusi tidak boleh dipertanggungjawabkan membina masa depan jika hanya bergantung kepada peruntukan tahunan semata-mata.
“Institusi yang ingin bertahan untuk generasi akan datang mestilah mempunyai asas kewangan yang kukuh, stabil dan mampan,” katanya ketika membahas Rang Undang-Undang Enakmen Majlis Hal Ehwal Anak Negeri Sabah (Pindaan) 2026 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini.
Madius mencadangkan supaya Kerajaan mempertimbangkan pindaan pada masa hadapan bagi membolehkan Majlis menerima pemberian tanah, bangunan, aset, endowmen, geran penyelidikan, sumbangan korporat serta apa-apa bentuk sumbangan lain yang sah di sisi undang-undang.
“Tujuannya bukan untuk mengumpul kekayaan, tujuannya ialah membina satu asas kewangan yang mampan supaya hasil yang dijana dapat digunakan semula bagi membiayai program pembangunan masyarakat Anak Negeri,” ujarnya.
Menurut beliau, Dana Amanah Pembangunan Anak Negeri Sabah boleh menjadi instrumen kewangan jangka panjang bagi membiayai biasiswa kepada anak-anak Anak Negeri yang cemerlang, penyelidikan berkaitan adat dan budaya, pendokumentasian bahasa-bahasa etnik serta latihan kepimpinan Ketua Daerah, Ketua Anak Negeri, Wakil Ketua Anak Negeri dan Ketua Kampung.
Bagi memastikan aset dan pelaburan diurus secara profesional, beliau turut mencadangkan supaya Kerajaan meneliti kemungkinan menubuhkan Perbadanan Pembangunan Anak Negeri Sabah sebagai cabang korporat kepada Majlis Hal Ehwal Anak Negeri Sabah.
“Institusi yang memiliki aset belum tentu dihormati, tetapi institusi yang mengurus aset dengan penuh integriti akan sentiasa mendapat kepercayaan rakyat.
“Semua aktiviti korporat itu hendaklah berteraskan tadbir urus yang baik, diurus secara profesional, diaudit secara bebas dan sentiasa berakauntabiliti kepada rakyat.
“Inilah pelaburan sebenar untuk masa depan masyarakat Anak Negeri,” ujar Madius lagi.
































