Hendrus Anding
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah akan menaik taraf ladang-ladang ternakan milik kerajaan di seluruh negeri dengan peruntukan RM24.3 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi meningkatkan pengeluaran ternakan tempatan dan memperkukuhkan sekuriti makanan negeri.
Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Hendrus Anding berkata, inisiatif itu melibatkan pembangunan ladang ruminan besar, ruminan kecil dan bukan ruminan yang diuruskan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Sabah.
Beliau berkata, daripada jumlah keseluruhan peruntukan itu, sebanyak RM12.5 juta disediakan bagi pembangunan 11 ladang ruminan besar di Keningau, Kudat, Telupid, Tawau dan Kota Belud.
Selain itu, RM7 juta diperuntukkan bagi menaik taraf lima ladang ruminan kecil di Bongawan, Ranau, Telupid, Kunak dan Lahad Datu, manakala RM4.8 juta lagi akan digunakan untuk membangunkan dua ladang bukan ruminan iaitu Ladang Unggas Bantayan dan Ladang Itik Kiansom.
“Keseluruhan projek ini merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan memperkukuhkan industri penternakan negeri dan meningkatkan tahap sekuriti makanan Sabah secara berperingkat,” katanya ketika menjawab soalan ADUN Bongawan, Dr. Daud Yusof pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini.
Hendrus berkata, pelaksanaan projek naik taraf itu dijangka meningkatkan pengeluaran ternakan secara ketara menjelang 2030.
Katanya, bagi ruminan besar, pengeluaran daging dijangka meningkat hampir 199 peratus daripada 126 ekor setahun pada 2026 kepada 377 ekor pada 2030, manakala pengeluaran baka meningkat 78 peratus daripada 423 ekor kepada 752 ekor setahun.
Bagi ruminan kecil pula, pengeluaran daging dijangka melonjak 486 peratus daripada 121 ekor kepada 710 ekor setahun, manakala pengeluaran baka meningkat 233 peratus daripada 275 ekor kepada 916 ekor menjelang 2030.
Dalam sektor bukan ruminan, pengeluaran anak ayam dan anak itik dijangka meningkat kira-kira 30 peratus daripada 205,000 ekor setahun kepada 265,000 ekor setahun menjelang 2030.
Menurut Hendrus, peningkatan pengeluaran ruminan amat penting memandangkan Tahap Sara Diri (SSR) bagi daging lembu dan kerbau di Sabah ketika ini hanya sekitar 7.05 peratus.
Beliau berkata, usaha menaik taraf ladang kerajaan itu adalah sebahagian daripada strategi RMKe-13 yang turut melibatkan Program Integrasi Kelapa Sawit, MEPKAS serta Program Pembangunan Sumber Genetik, dengan sasaran meningkatkan SSR daging ruminan kepada 25 peratus menjelang 2030.
Dalam pada itu, beliau berkata sektor ayam pedaging di Sabah telah mencapai tahap sara diri melebihi 100 peratus dengan SSR sebanyak 105.3 peratus hasil sumbangan industri swasta yang memenuhi keperluan kira-kira 35 juta ekor ayam setahun.
Sehubungan itu, katanya, ladang unggas dan itik milik DVS Sabah berfungsi sebagai pusat latihan dan pembiakan baka yang tidak dihasilkan secara meluas oleh industri komersial.
Katanya, ladang berkenaan turut membekalkan anak ternakan bagi pelaksanaan program kerajaan seperti Program Kebun Dapur, selain menyokong usahawan kecil dan komuniti kampung yang ingin memulakan perusahaan penternakan secara kecil-kecilan.
Hendrus yakin pelaksanaan projek naik taraf ladang ternakan di bawah RMK13 akan memperkukuhkan industri penternakan Sabah, sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap bekalan luar serta meningkatkan jaminan bekalan makanan negeri dalam jangka panjang.
































