Dr. Mohd. Arifin Mohd. Arif
KOTA KINABALU: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini meluluskan tiga rang undang-undang penting yang menjadi asas kepada reformasi menyeluruh institusi anak negeri, melibatkan Enakmen Mahkamah Anak Negeri 2026, Enakmen Ketua Daerah, Ketua Anak Negeri dan Ketua Kampung 2026 serta Enakmen Majlis Hal Ehwal Anak Negeri Sabah (Pindaan) 2026.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Dr. Mohd. Arifin Mohd. Arif berkata, ketiga-tiga enakmen itu saling melengkapi bagi mewujudkan kerangka perundangan yang lebih moden, tersusun dan komprehensif dalam memperkukuh institusi kehakiman adat, kepimpinan masyarakat serta tadbir urus hal ehwal anak negeri di Sabah.
“Rang Undang-Undang ini telah digubal melalui proses libat urus dan perundingan yang menyeluruh bersama kementerian, jabatan, agensi serta pihak-pihak berkepentingan bagi memastikan setiap peruntukan yang dicadangkan adalah selaras dengan keperluan semasa, amalan terbaik serta kehendak masyarakat anak negeri di Sabah.
“Matlamat utama Rang Undang-Undang ini adalah untuk mewujudkan suatu kerangka perundangan yang lebih komprehensif, moden dan berkesan bagi pentadbiran Mahkamah Anak Negeri,” katanya ketika membentangkan Rang Undang-Undang berkenaan pada persidangan DUN Sabah hari ini.
Beliau berkata, Enakmen Mahkamah Anak Negeri 2026 menggantikan Enakmen Mahkamah Anak Negeri Sabah 1992 yang telah berkuat kuasa sejak 1 April 1994 bagi memenuhi perubahan dalam aspek perundangan, pentadbiran dan perkembangan sosioekonomi selepas lebih 30 tahun.
Menurutnya, enakmen baharu itu memperjelaskan bidang kuasa Mahkamah Anak Negeri supaya tidak bertindih dengan Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil, selain menyusun semula struktur pentadbiran dan kehakiman yang lebih sistematik.
Katanya, antara pembaharuan utama ialah mekanisme pelantikan hakim yang lebih telus, penetapan kelayakan dan tempoh pemegangan jawatan hakim, pengukuhan sistem rayuan dan penyemakan, penyediaan kod etika serta arahan amalan bagi meningkatkan integriti dan profesionalisme institusi kehakiman adat.
Enakmen yang mengandungi 11 bahagian dan 50 fasal itu turut memperkenalkan Daftar Tetua bagi membolehkan kepakaran adat dimanfaatkan secara lebih tersusun dalam membantu mahkamah membuat keputusan, selain membolehkan prosiding dijalankan menggunakan teknologi komunikasi jarak jauh serta memperkemaskan pengurusan rekod dan pelaksanaan perintah mahkamah.
Selain itu, enakmen berkenaan memperuntukkan kuasa Mahkamah Anak Negeri untuk mengenakan dan menguatkuasakan denda adat, pampasan, ganti rugi, penalti, restitusi serta sogit, di samping menggalakkan penyelesaian pertikaian melalui pengantaraan oleh Ketua Daerah, Ketua Anak Negeri atau Ketua Kampung sebelum sesuatu kes diputuskan oleh mahkamah.
Dr. Mohd. Arifin berkata, Enakmen Ketua Daerah, Ketua Anak Negeri dan Ketua Kampung 2026 pula menyediakan kerangka perundangan khusus buat pertama kali bagi mengawal selia pelantikan, fungsi, tanggungjawab, elaun, tatakelakuan serta akauntabiliti institusi kepimpinan masyarakat itu.
“Sudah tiba masanya untuk mewujudkan suatu enakmen khusus yang dapat memberikan asas perundangan yang jelas, moden dan tersusun bagi memperkukuhkan institusi Ketua Daerah, Ketua Anak Negeri dan Ketua Kampung agar terus relevan dalam memenuhi keperluan pentadbiran negeri pada masa kini,” katanya.
Beliau berkata, enakmen itu menyeragamkan proses pelantikan, memperjelaskan fungsi dan kewajipan, mewujudkan mekanisme pemantauan serta meningkatkan akauntabiliti supaya pelaksanaan tugas dapat diselaraskan di seluruh negeri.
Di bawah kerangka baharu itu, fungsi kehakiman akan dilaksanakan sepenuhnya oleh Mahkamah Anak Negeri, manakala Ketua Daerah, Ketua Anak Negeri dan Ketua Kampung terus berperanan sebagai pemimpin masyarakat yang membantu kerajaan dalam urusan pentadbiran, pembangunan dan kebajikan rakyat.
Enakmen lapan fasal itu turut memberi kuasa kepada Menteri untuk melantik, membatalkan atau menamatkan pelantikan Ketua Daerah, Ketua Anak Negeri dan Ketua Kampung, menentukan kadar elaun dan faedah, mengeluarkan arahan pentadbiran serta menetapkan larangan terhadap pemegang jawatan daripada terlibat dalam pekerjaan atau perniagaan yang boleh menimbulkan konflik kepentingan.
Pada masa sama, DUN turut meluluskan Enakmen Majlis Hal Ehwal Anak Negeri Sabah (Pindaan) 2026 yang memperkukuhkan peranan MHEANS sebagai badan penasihat utama kerajaan negeri dalam hal ehwal adat dan undang-undang adat anak negeri.
Menurut Dr. Mohd. Arifin, pindaan itu merupakan pindaan berbangkit bagi menyokong pelaksanaan Enakmen Mahkamah Anak Negeri 2026 dan Enakmen Ketua Daerah, Ketua Anak Negeri dan Ketua Kampung 2026 supaya ketiga-tiga enakmen itu dapat beroperasi secara harmoni dalam satu kerangka perundangan yang menyeluruh.
Beliau berkata, pindaan itu memperluaskan fungsi MHEANS untuk menasihati kerajaan mengenai pendidikan adat dan undang-undang adat anak negeri, selain memberi syor kepada Ketua Hakim mengenai pelantikan Tetua.
Pindaan itu turut memperkenalkan jawatan Pegawai Adat bagi menerima dan menyiasat laporan pelanggaran undang-undang adat anak negeri, selain memasukkan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah sebagai ahli ex-officio MHEANS serta menambah bilangan ahli lantikan daripada enam kepada tidak melebihi sembilan orang bagi memperluaskan penyertaan pelbagai etnik dan adat besar di Sabah.
“Pendekatan ini akan memperkukuhkan tadbir urus institusi anak negeri serta memastikan pelaksanaan adat dan undang-undang adat anak negeri dapat dilaksanakan secara lebih tersusun, berkesan dan selaras dengan hasrat reformasi Kerajaan Negeri,” katanya.
































