Nizam Abu Bakar Titingan
KOTA KINABALU: Pembinaan semula Kompleks Sukan Tongod dijangka bermula pada September ini selepas Kementerian Kewangan meluluskan syarikat yang akan melaksanakan projek sambungan berkenaan.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, kementeriannya kini sedang dalam proses mengeluarkan surat tawaran kepada syarikat yang telah diluluskan.
Beliau berkata, kerja-kerja di tapak pembinaan akan dimulakan sebaik sahaja syarikat berkenaan menerima surat tawaran dan memenuhi semua syarat yang ditetapkan.
“Kementerian kini sedang dalam proses mengeluarkan surat tawaran kepada syarikat yang telah diluluskan oleh Kementerian Kewangan.
“Kerja-kerja pembinaan akan dimulakan sebaik sahaja syarikat menerima surat tawaran dan memenuhi semua syarat yang ditetapkan dalam dokumen tersebut,” katanya ketika menjawab soalan ADUN Kuamut, Datuk Masiung Banah pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini.
Nizam berkata, projek itu dijangka mengambil masa lapan bulan untuk disiapkan selepas kerja-kerja pembinaan bermula pada September nanti.
Beliau berkata, pembinaan semula Kompleks Sukan Tongod merupakan antara projek pembangunan penting bagi kawasan pedalaman yang akan menyediakan kemudahan sukan lebih lengkap kepada masyarakat setempat, khususnya golongan belia.
Katanya, apabila siap kelak, kompleks itu dijangka menjadi pusat pelaksanaan pelbagai aktiviti sukan, rekreasi dan program pembangunan belia, selain menyediakan kemudahan yang lebih kondusif untuk penganjuran kejohanan sukan di peringkat daerah.
Nizam berkata, pelaksanaan projek itu turut mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri dalam memperkukuh pembangunan infrastruktur sukan di kawasan luar bandar supaya masyarakat di pedalaman dapat menikmati kemudahan sukan yang berkualiti setanding dengan kawasan lain di Sabah.
































