Jafry Ariffin
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri buat masa ini belum bercadang menubuhkan pejabat atau cawangan rasmi Lembaga Pelancongan Sabah (STB) di Sandakan dan Tawau.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Jafry Ariffin berkata, usaha memperkukuh pengurusan serta penyelarasan sektor pelancongan di Pantai Timur negeri bagaimanapun akan terus diperkasakan melalui kerjasama pelbagai agensi dan pihak berkepentingan.
Jafry yang juga ADUN Sukau berkata, walaupun tiada perancangan untuk membuka cawangan rasmi di kedua-dua daerah tersebut, segala urusan berkaitan penyelarasan, promosi dan pembangunan pelancongan di Pantai Timur Sabah terus dilaksanakan oleh ibu pejabat STB di Kota Kinabalu.
Menurut beliau, pelaksanaan tugas itu turut disokong melalui kerjasama erat dengan pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan berkaitan, pihak berkuasa tempatan, Jawatankuasa Tindakan Pelancongan Daerah (JTPD), persatuan pelancongan serta pemain industri di Sandakan dan Tawau.
Beliau menjawab soalan ADUN Tanjong Papat, Alex Thien Ching Qiang pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini.
Dalam perkembangan sama, Jafry berkata, kementeriannya bersama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Persekutuan (MOTAC) sedang merancang untuk menubuhkan sebuah pejabat di Semporna.
Katanya, penubuhan pejabat itu bertujuan memperkukuh penyampaian perkhidmatan serta memudahkan pengurusan permohonan berkaitan sektor pelancongan di kawasan Pantai Timur Sabah.
“Langkah ini akan meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kepada pemain industri pelancongan di Pantai Timur, selain menyokong pembangunan destinasi pelancongan yang semakin berkembang di kawasan berkenaan,” katanya.
Beliau berkata, walaupun tiada cawangan rasmi STB akan diwujudkan di Sandakan dan Tawau dalam masa terdekat, perancangan membuka pejabat di Semporna mencerminkan komitmen Kerajaan untuk terus memperkukuh ekosistem pelancongan di Pantai Timur Sabah melalui pendekatan yang lebih bersasar dan strategik.


































