Masidi Manjun
KOTA KINABALU: Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun hari ini membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Bekalan Tambahan 2026 yang melibatkan peruntukan tambahan sebanyak RM1.6126 bilion bagi memenuhi keperluan operasi Kerajaan Negeri sehingga penghujung tahun ini.
Beliau berkata, peruntukan tambahan itu meliputi 53 kepala perbelanjaan seperti yang diperincikan dalam Penyata Anggaran Bekalan Tambahan 2026.
Katanya, semua anggaran tambahan tersebut adalah perlu bagi memastikan pentadbiran Kerajaan Sabah dapat berjalan lancar sehingga akhir tahun 2026.
Menurutnya, peruntukan tambahan itu merangkumi enam kategori utama perbelanjaan iaitu caruman kepada kumpulan wang berkanun sebanyak RM856 juta atau 53 peratus, perbelanjaan operasi RM278 juta (17 peratus), pelaburan RM210 juta (13 peratus), perbelanjaan pentadbiran RM162 juta (10 peratus), geran dalam negeri RM93 juta (enam peratus) dan peruntukan khas RM13 juta (satu peratus).
Masidi yang juga Timbalan Ketua Menteri II berkata, sebahagian besar peruntukan tambahan yang dicadangkan adalah bagi caruman kepada kumpulan wang berkanun yang tidak melibatkan aliran keluar tunai, sebaliknya merupakan pelarasan perakaunan melalui pemindahan dalaman atau “book transfer” bagi mematuhi Akta Kumpulan Wang Pembangunan 1966 dan Akta Tatacara Kewangan 1957.
“Daripada RM856 juta itu, RM700 juta (81.8 peratus) merupakan caruman tambahan kepada Kumpulan Wang Pembangunan bagi mengurangkan defisit Akaun Pembangunan.
“Sebanyak RM90 juta lagi (10.5 peratus) adalah caruman kepada Kumpulan Wang Amanah Berkanun bagi operasi dan penyelenggaraan jalan raya serta jambatan di seluruh Sabah, manakala RM66 juta (7.7 peratus) akan disalurkan kepada Kumpulan Wang Amanah Khas Kerajaan Negeri untuk pembinaan dan menaik taraf infrastruktur asas seperti bekalan air, jalan raya dan utiliti, selain program pembasmian kemiskinan termasuk Rumah Mesra Sabah Maju Jaya dan Sentuhan Kasih Rakyat (Syukur),” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini.
Beliau berkata, sejumlah RM264.24 juta turut dicadangkan di bawah peruntukan Perkhidmatan Am Perbendaharaan yang merangkumi RM210 juta bagi pelaburan ekuiti, RM22 juta untuk geran dalam negeri bagi menampung pembayaran pemeriksaan perubatan, bantuan kepada badan keagamaan bukan Islam dan sekolah jenis kebangsaan, serta RM13 juta bagi kerja pembersihan perairan pantai di Kota Kinabalu dan Semporna, selain membiayai pelbagai permohonan peruntukan yang diterima daripada agensi.
Masidi berkata, peruntukan tambahan itu juga akan digunakan bagi penyelenggaraan sistem bekalan air dan pembetungan, pembaikan kerosakan akibat bencana alam, kerja-kerja penyelenggaraan dan pendawaian elektrik bangunan kerajaan, serta perbelanjaan pentadbiran dan operasi lain.
Katanya, Jabatan Ketua Menteri dan agensinya akan menerima tambahan RM86 juta bagi membiayai biasiswa Kerajaan Negeri dan pelbagai program bantuan pendidikan termasuk Bantuan Tunai Pendaftaran Institusi Pengajian Tinggi (BUDI), Sumbangan Mahasiswa Pengajian Tinggi Sabah (SENTOSA), Subsidi Tambang Penerbangan Pelajar Sabah (SUBFLY) dan Sumbangan Aktiviti Sekolah Sabah (SUKSES).
Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan serta jabatan-jabatannya pula dicadangkan menerima tambahan RM43 juta bagi penyelenggaraan sistem saliran, pembersihan sungai, kerja-kerja mitigasi banjir serta perbelanjaan pentadbiran dan operasi lain.
Sementara itu, Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan pejabat-pejabat daerah di seluruh negeri diperuntukkan tambahan RM30.6 juta termasuk RM24.5 juta bagi pembayaran elaun Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), manakala baki peruntukan digunakan untuk perbelanjaan pentadbiran dan operasi lain.
Masidi berkata, Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif dicadangkan menerima tambahan RM24 juta bagi menampung perbelanjaan pentadbiran dan operasi, persiapan serta penyertaan dalam Sukan Malaysia (Sukma) Ke-22 di Selangor, selain penganjuran Sukan BIMP-EAGA 2026.
Beliau berkata, kementerian dan jabatan negeri yang lain akan menerima tambahan RM77.4 juta bagi pelbagai tujuan termasuk geran kepada pihak berkuasa tempatan, Sabah Skills Development Centre (SSTC), Sabah Creative Economy and Innovation Centre (SCENIC), Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah serta pelaksanaan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Peruntukan tambahan itu juga akan digunakan bagi bantuan kepada tabung bantuan bencana, bantuan kebajikan untuk anak yatim dan golongan miskin serta penyelenggaraan rumah warga emas.
Sementara itu, Masidi turut mencadangkan tambahan Anggaran Pembangunan 2026 berjumlah RM435.54 juta yang melibatkan 35 kepala perbelanjaan di bawah sembilan kementerian.
Daripada jumlah itu, RM216.34 juta (49.7 peratus) akan dibiayai melalui Kumpulan Wang Negeri manakala RM219.20 juta (50.3 peratus) dibiayai menerusi pinjaman Persekutuan.
Masidi berkata, antara peruntukan terbesar adalah bagi sektor bekalan air dan pembetungan, termasuk projek penggantian paip utama serta pembayaran konsesi di bawah Jabatan Air Negeri Sabah.
Peruntukan itu juga akan membiayai Projek Pembangunan Sistem Bil Pembetungan dan skim pembetungan di bawah Jabatan Perkhidmatan Pembetungan Sabah.
Beliau berkata, peruntukan kedua terbesar sebanyak RM62.58 juta dicadangkan kepada Kementerian Pembangunan Luar Bandar bagi membiayai Projek-Projek Kecil Pembangunan, Peruntukan Khas Ahli Dewan Undangan Negeri, Projek Jambatan Kecil Luar Bandar, Program Bekalan Air Luar Bandar Alternatif (BALBA) serta Program Rumah Sejahtera Rakyat Sabah (RSRS).
Selain itu, RM60 juta akan diperuntukkan kepada Kementerian Kewangan bagi membiayai pelaksanaan projek berkaitan infrastruktur asas dan kemudahan awam yang memerlukan tindakan segera.
Jabatan Ketua Menteri pula akan menerima RM55 juta bagi menampung kos Projek Pembangunan Khas serta pengambilan tanah di bawah Jabatan Tanah dan Ukur.
Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif turut menerima RM15.2 juta bagi membiayai pembinaan kompleks sukan negeri, asrama kompleks sukan, kerja-kerja awal projek Stadium Likas II serta kerja penyelenggaraan kompleks sukan di seluruh Sabah.
Peruntukan tambahan lain termasuk RM5.5 juta kepada Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan bagi membiayai projek pembangunan di bawah pihak berkuasa tempatan, RM2 juta kepada Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat bagi membiayai Kompleks Bersepadu Orang Kurang Upaya dan Warga Emas di Inanam, Kota Kinabalu yang kini dalam pelaksanaan, serta RM1.56 juta kepada Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan bagi membiayai projek di bawah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah.


































