Juliah bersama tetamu jemputan lain dan peserta selepas merasmikan Program Simulasi Haji Cilik Kali Ke-9 Tahun 2026.
KOTA KINABALU: Program Simulasi Haji Cilik diharap dapat terus berkembang bagi melahirkan generasi yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi juga kaya dengan ilmu agama dan nilai murni.
Isteri Ketua Menteri, Datin Seri Hajah Juliah Salag berkata, program itu bukan sekadar aktiviti tahunan, sebaliknya menjadi platform pembelajaran praktikal yang memberi peluang kepada kanak-kanak memahami rukun-rukun haji dengan lebih dekat.
“Ini termasuk mengenali tempat-tempat suci serta menghayati nilai kesabaran, disiplin, pengorbanan, kerjasama dan kasih sayang sesama insan. Program ini berjaya menggabungkan pembelajaran, pengalaman dan penghayatan dalam satu pendekatan yang sangat kreatif.
“Inilah contoh pendidikan yang bukan sahaja mengajar ilmu, tetapi turut membentuk jiwa dan akhlak anak-anak. Lebih membanggakan, usaha murni ini telah berjaya menghimpunkan penyertaan daripada pelbagai tadika dan sekolah rendah Islam serta keluarga dari seluruh Sabah.
“Ini membuktikan bahawa program ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada masyarakat Islam di negeri ini,” katanya ketika merasmikan Program Simulasi Haji Cilik Kali Ke-9 Tahun 2026 di Masjid Bandaraya Kota Kinabalu, di sini, hari ini.
Juliah berkata, beliau berharap pengalaman berharga yang diperoleh peserta melalui program itu akan menyemai rasa cinta yang mendalam terhadap agama serta membina impian untuk menunaikan ibadah haji yang sebenar pada masa hadapan.
“Syabas dan tahniah kepada Persatuan Tadika Islam Swasta Sabah (PERTIS) atas penganjuran program yang begitu istimewa dan bermanfaat ini, khususnya kepada anak-anak jemaah cilik kita,” katanya.


































