Haji Hajiji Haji Noor
KENINGAU: Kerajaan Negeri akan terus menyokong usaha memperkukuh jaringan kerjasama dalam memperluaskan akses kepada pendidikan, intervensi awal dan perkhidmatan sokongan bagi kanak-kanak berkeperluan pendidikan khas, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor.
Beliau berkata, kerjasama itu melibatkan Jabatan Pendidikan Negeri, sekolah, ibu bapa, agensi kerajaan, institusi pengajian tinggi, sektor swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
“Malah, pada tahun ini sahaja, kerajaan telah memperuntukkan RM173.56 juta kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat serta jabatan dan agensi di bawahnya bagi melaksanakan program yang bertujuan meningkatkan kesejahteraan dan kebajikan rakyat.
“Dalam konteks Kerajaan Negeri, kesejahteraan rakyat kekal menjadi keutamaan, termasuk kebajikan orang kurang upaya (OKU), anak yatim, warga emas, ibu tunggal serta golongan miskin dan kurang berkemampuan.
“Sehubungan itu, pelbagai program sedang dilaksanakan tahun ini menerusi Kementerian Pembangunan Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat,” katanya ketika merasmikan Program Neurohope 2026 di Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Bingkor di sini, hari ini. Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Ceasar Mandela Malakun.

Mandela yang mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor, melakukan gimik pelancaran Program Neurohope 2026 sambil diperhatikan Dr. Velerie (kiri).
Ketua Menteri berkata, antara inisiatif yang disediakan ialah skim bantuan kebajikan meliputi OKU, warga emas, kanak-kanak dan ibu tunggal, selain Skim Bantuan Anak Yatim, Program Bantuan Makanan bagi Golongan Miskin dan Kurang Berkemampuan serta peluasan Pusat Autisme Sabah (PAUS).
“Pada masa ini, PAUS Kota Kinabalu telah ditubuhkan di Sembulan dan beroperasi dengan baik dalam menyediakan perkhidmatan kepada kanak-kanak autisme di Kota Kinabalu. Oleh itu, saya berharap rakyat akan memanfaatkan sepenuhnya semua program yang disediakan kerajaan.
“PAUS akan menawarkan pendidikan awal yang berkualiti dan mampu milik kepada kanak-kanak autisme berumur antara tiga hingga tujuh tahun.
“Pusat-pusat ini akan ditubuhkan secara berperingkat di Tawau, Sandakan, Kudat dan Beaufort bermula tahun ini,” katanya.
Hajiji berkata, Program Neurohope merupakan inisiatif berasaskan komuniti yang menghimpunkan sektor pendidikan, kesihatan dan kerajaan, organisasi masyarakat, ibu bapa serta komuniti secara keseluruhan dengan matlamat bersama untuk membina masyarakat yang lebih memahami dan menyokong perkembangan setiap kanak-kanak.
“Menerusi program hari ini, saya menyeru ibu bapa, guru, pemimpin masyarakat dan orang ramai agar merebut peluang ini untuk menambah pengetahuan, berkongsi pengalaman dan bekerjasama dalam membina ekosistem sokongan yang holistik.
“Kita mengiktiraf bahawa sokongan bukan sahaja perlu datang daripada ahli keluarga terdekat, tetapi juga melalui komitmen yang kukuh daripada komuniti, profesional kesihatan dan pertubuhan bukan kerajaan,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan dan memuji seluruh warga SK Bingkor kerana membuktikan bahawa sekolah mampu berfungsi sebagai pusat pembangunan komuniti.
“Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada Guru Penolong Kanan SK Bingkor, Dr. Velerie Primus atas dedikasi beliau dalam memperjuangkan pendidikan inklusif sehingga mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa.
“Beliau telah mengharumkan nama Malaysia dan Sabah apabila dinobatkan sebagai pemenang Cambridge Dedicated Teacher Awards 2026 bagi rantau Asia Tenggara dan Pasifik, disenaraikan dalam Top 50 Finalists bagi Global Teacher Prize serta menerima Anugerah Khas daripada Menteri Pendidikan Malaysia,” katanya.
Ketua Menteri berharap Program Neurohope dapat berkembang menjadi satu gerakan yang mampu memberi manfaat dan inspirasi kepada lebih banyak sekolah, komuniti dan daerah di seluruh Sabah.
“Semoga program ini menjadi titik permulaan kepada satu gerakan yang lebih besar untuk memperkukuh pendidikan inklusif, memperkasa keluarga dan membina masyarakat yang lebih prihatin demi masa depan Sabah yang lebih cerah,” katanya.


































