KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan terus memperkukuhkan pelaksanaan Skim Penstabilan Minyak Masak (COSS) melalui pelbagai langkah penambahbaikan bagi memastikan subsidi minyak masak benar-benar dinikmati golongan sasar serta mengurangkan ketirisan.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, KPDN menyambut baik syor yang dikemukakan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berhubung Pengurusan Kawalan Harga dan Subsidi Minyak Masak seperti yang dibentangkan dalam Penyata PAC DR. 27 Tahun 2026 di Dewan Rakyat pada 16 Julai lalu.
Katanya, kementerian akan meneliti dan mengambil perhatian serius terhadap semua syor yang dikemukakan.
“Mengambil kira isu-isu berbangkit sejak pelaksanaan COSS pada tahun 2007, KPDN sedang melaksanakan strategi dan tindakan penambahbaikan secara berperingkat bermula tahun 2023.
“Langkah ini diperkukuhkan melalui naziran dalaman yang telah dilaksanakan KPDN dari Disember 2023 hingga Jun 2024,” katanya dalam satu kenyataan.
Armizan berkata, KPDN turut mengalu-alukan perakuan PAC mengenai kepentingan Sistem Skim Penstabilan Minyak Masak (eCOSS) dan gesaan supaya peralihan daripada subsidi pukal minyak masak peket kepada subsidi bersasar dipercepatkan melalui sistem berkenaan.
Menurutnya, pembangunan dan pelaksanaan eCOSS yang bermula pada 2023 telah melalui dua fasa utama.
Beliau berkata, fasa pertama melibatkan penguatkuasaan penggunaan eCOSS secara berperingkat di sepanjang rantaian bekalan dengan mewajibkan perekodan digital pengurusan kuota bulanan, transaksi jualan bekalan dan tuntutan subsidi bermula dari kilang penapisan, syarikat pembungkus, pemborong hingga ke peruncit.
Katanya, fasa kedua pula memperluaskan sistem itu menerusi pengenalan aplikasi mudah alih eCOSS yang dilaksanakan secara rintis sejak Mei 2025 bagi melengkapkan perekodan bekalan minyak masak peket sehingga ke peringkat transaksi jual beli antara peruncit dan pengguna di kaunter.
“Pelaksanaan Sistem eCOSS secara menyeluruh merupakan strategi pengurusan risiko ketirisan yang penting bagi mengekang manipulasi rekod manual dan penyelewengan bekalan.
“Penggunaan sistem ini akan diperkukuhkan lagi dengan pengenalan versi baharu kad pengenalan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang membolehkan pembelian dibuat menggunakan imbasan kod QR sebagai pengesahan identiti,” katanya.
Beliau berkata, langkah itu akan membolehkan penjualan secara bersasar dilaksanakan sepenuhnya selain menghalang pembelian oleh warga asing.
Mengenai syor PAC supaya dominasi syarikat milikan asing dalam sektor penapisan minyak masak dikurangkan, Armizan berkata, sejak pelaksanaan COSS, kerajaan tidak menetapkan kuota kilang penapisan kerana pemilihan pembekal dibuat oleh syarikat pembungkus berdasarkan faktor logistik, harga, terma kredit, kapasiti bekalan dan lokasi.
Bagaimanapun, katanya, KPDN sedang melaksanakan intervensi secara berperingkat bagi menggalakkan syarikat pembungkus mendapatkan bekalan daripada kilang penapis milikan tempatan melalui syarat penggantian kuota dan mekanisme padanan perniagaan.
Selain itu, KPDN turut melaksanakan beberapa langkah lain termasuk larangan penjualan minyak masak peket 1 kilogram kepada bukan warganegara yang berkuat kuasa pada 1 Mac 2026, penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) pengurusan minyak masak sisa atau rosak bermula 1 Mei 2026 serta penetapan harga runcit maksimum RM2.50 bagi minyak masak sawit tulen 1 kilogram dalam bungkusan polibeg yang berkuat kuasa sejak 1 Mei 2025.
Langkah lain termasuk pengintegrasian sistem eCOSS dengan sistem Sumbangan Asas Rahmah (SARA), pengukuhan pemantauan dan audit terhadap pemegang kuota, penyelarasan penguatkuasaan melalui Jawatankuasa Tertinggi Penyelarasan Antara Agensi Penguatkuasaan Bagi Membanteras Ketirisan dan Penyeludupan (JTPAP) serta Task Force OPS TIRIS 4.0.
KPDN juga memastikan bekalan minyak masak peket bersubsidi 1 kilogram sentiasa tersedia dalam setiap Program Jualan RAHMAH MADANI (PJRM) selain melaksanakan mekanisme zoning pengedaran minyak masak bersubsidi.
Armizan berkata, menerusi mekanisme itu, syarikat pembungkus hanya dibenarkan menentukan 50 peratus senarai pengagihan peruncitan daripada kuota yang diperuntukkan manakala baki 50 peratus ditentukan oleh KPDN.
“KPDN komited untuk terus melaksanakan penambahbaikan dengan mengambil kira laporan naziran dalaman, Laporan Audit Jabatan Audit Negara pada Julai 2025 dan Laporan Penyata PAC.
“Ketegasan penguatkuasaan terhadap kilang penapis, syarikat pembungkus, pemborong, peruncit dan mana-mana pihak yang melanggar undang-undang amat penting bagi memastikan subsidi yang melibatkan peruntukan besar ini benar-benar dimanfaatkan oleh rakyat secara bersasar,” katanya.


































