Masiung (kanan) diberi taklimat oleh James (dua dari kanan) semasa lawatan tapak di Kampung Limau-Limauan, Kudat.
KUDAT: Daerah Kudat dijangka muncul sebagai hab ekonomi serantau berimpak tinggi yang penting di Asia Tenggara apabila Projek Taman Perindustrian Ekonomi Biru (BEIP) mula dilaksanakan dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Pengerusi Kumpulan SEDCO, Datuk Masiung Banah berkata, projek berkonsepkan pembangunan maritim dan teknologi hijau itu merupakan inovasi baharu yang pertama seumpamanya di negara ini.
Beliau berkata, SEDCO diberi peranan sebagai peneraju utama dalam membangunkan kawasan perindustrian tersebut dengan kerjasama kementerian, jabatan negeri dan persekutuan serta agensi swasta berkepentingan.
Masiung berkata demikian ketika diminta mengulas selepas mempengerusikan mesyuarat dan sesi libat urus mengenai teknologi cadangan BEIP di Pejabat Daerah Kudat pada Khamis.
Menurut ADUN Kuamut itu, projek berskala besar berkenaan akan memberi tumpuan kepada industri berkaitan makanan laut dan logistik perdagangan di rantau Asia Tenggara.
Sebagai langkah awal, katanya, perunding yang dilantik telah diarahkan menyediakan pelan induk projek termasuk memulakan kerja tanah dan pengukuran tapak seluas 1,205 ekar milik SEDCO di Kampung Limau-Limauan dan Parapat Laut.
Masiung berkata, sebanyak 3,129 ekar lagi tanah turut direzabkan bagi pembangunan ekonomi itu, melibatkan kawasan hutan simpan dan paya bakau di Matunggung, Banggi dan Tanjung Kapor.
“Lokasi strategik ini mempunyai potensi besar untuk dimajukan kerana kedudukannya yang berhampiran dengan China, Korea Selatan, Jepun dan Filipina.
“Pada masa sama, aktiviti maritim penduduk tempatan akan terus diberi sokongan termasuk usaha menambah baik industri perikanan laut dalam dan menaik taraf pembinaan bagang di kawasan pesisir pantai,” katanya.
Beliau berkata, wilayah perindustrian itu turut menawarkan pelbagai projek maritim bernilai tinggi yang menggabungkan elemen mesra alam dan kelestarian marin, selain cadangan pembinaan pelabuhan sebagai zon perdagangan serantau.
Turut hadir pada sesi libat urus dan lawatan tapak itu ialah ADUN Banggi, Datuk Mohammad Mohamarin; Pengurus Besar SEDCO, Ar. Datuk James Wong; Pegawai Daerah Kudat, Charels William Dabbi; ketua-ketua jabatan negeri dan persekutuan serta penduduk tempatan yang terlibat dengan cadangan projek berkenaan.


































