Hajiji dan Juliah Salag bersama orang ramai yang menghadiri rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri peringkat negeri.
KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor berkata, tiada asas untuk menghidupkan semula tuntutan Manila ke atas Sabah seperti yang disuarakan oleh seorang senator Filipina.
“Sabah adalah sebuah negeri berdaulat dalam Persekutuan Malaysia dan perkara ini tidak sepatutnya dipersoalkan. Tiada keperluan untuk menjadikannya isu atau menggunakan krisis tenaga semasa bagi menghidupkan semula tuntutan lapuk,” katanya pada sambutan Hari Raya Aidilfitri peringkat negeri yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini hari ini.
Kira-kira 20,000 orang menghadiri acara tersebut yang diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman dan isteri, Toh Puan Faridah Tussin, bersama Ketua Menteri dan isteri, Datin Seri Juliah Salag.
Terdahulu, Hajiji dan Juliah, diiringi Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Dr. Mohd. Arifin Mohd. Arif selaku pengerusi utama penganjur acara, menyampaikan duit raya kepada golongan memerlukan sebelum beramah mesra dengan para tetamu di kawasan awam.
“Harapan kita agar semua dapat hidup dalam keadaan harmoni supaya kita terus dapat meraikan semua perayaan dengan aman,” katanya kepada orang ramai.
Pada acara utama, Yang di-Pertua Negeri, Ketua Menteri serta tetamu lain turut dihiburkan dengan pelbagai persembahan termasuk nyanyian oleh penyanyi terkemuka, Marsha Milan Londoh.































