Pairin, Dr. Maximus, Dr. Joachim dan para pemimpin lain memotong kek ulang tahun ke-41 PBS.
KOTA KINABALU: Parti Bersatu Sabah (PBS) yang kini menjangkau usia 41 tahun masih kekal relevan dalam landskap politik negeri dan perlu terus diperkukuhkan melalui usaha pembaharuan imej, pengukuhan keahlian serta persediaan menghadapi pilihan raya akan datang.
Pemangku Presiden PBS, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam berkata, walaupun parti itu telah melalui pelbagai cabaran sejak ditubuhkan pada 1985, perjuangannya masih belum selesai khususnya dalam memperjuangkan kepentingan rakyat Sabah.
“PBS kini telah melangkau usia 41 tahun sejak ditubuhkan pada 1985. Sepanjang tempoh tersebut kita telah melalui pelbagai cabaran dan ujian, namun sehingga hari ini kita masih berdiri teguh sebagai sebuah parti yang terus relevan dalam landskap politik negeri Sabah,” katanya ketika berucap pada Majlis Ulang Tahun PBS Ke-41 yang diadakan di Hakka Hall di sini malam ini.
Menurutnya, bagi memastikan parti itu terus berkembang, kepimpinan PBS perlu menilai semula hala tuju parti termasuk usaha “rebranding” supaya perjuangan parti lebih difahami dan dekat di hati rakyat.
“Kita perlu melihat kepada usaha ‘rebranding’ PBS supaya perjuangan parti ini lebih difahami dan lebih dekat di hati rakyat,” katanya.
Beliau berkata, antara langkah yang boleh dipertimbangkan termasuk memperkasakan kepimpinan belia dan beliawanis di peringkat akar umbi, menubuhkan Akademi PBS di setiap zon serta menarik lebih ramai pelajar institusi pengajian tinggi untuk memahami perjuangan parti.
Pada masa sama, katanya, usaha menambah keahlian serta memperkukuhkan bahagian-bahagian PBS di seluruh negeri juga perlu dipergiat bagi memastikan kelangsungan parti dalam jangka panjang.
Dr. Joachim berkata, tahun ini juga dijangka menyaksikan pemilihan kepimpinan parti di semua peringkat bermula dari cawangan hingga ke peringkat pusat.
“Saya menyeru kepada semua ahli parti agar memilih pemimpin yang benar-benar mampu membawa PBS ke arah yang lebih baik pada masa hadapan,” katanya.
Menurut beliau, pemilihan di peringkat cawangan telah bermula manakala pemilihan di peringkat bahagian dijangka berlangsung sehingga Jun, sebelum Persidangan Perwakilan Tahunan diadakan pada September.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan semua bahagian supaya memastikan jumlah keahlian parti memenuhi syarat yang ditetapkan dalam perlembagaan bagi mengelakkan sebarang masalah termasuk aduan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).
Dr. Joachim berkata, PBS juga perlu membuat persediaan awal bagi menghadapi pilihan raya umum dengan mengenal pasti calon yang berwibawa, mempunyai kredibiliti dan berpotensi untuk menang.
“Jika calon itu adalah calon PBS, maka kita semua harus memberikan sokongan sepenuhnya kepada mereka. Jangan mempertikaikan calon yang telah dipilih kerana yang penting ialah kemenangan parti,” katanya.
Dalam ucapannya, beliau turut menegaskan bahawa perjuangan parti itu akan terus memberi tumpuan kepada perkara penting termasuk pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), pembangunan infrastruktur dan kebajikan sosial rakyat Sabah.
Pada masa sama, beliau berkata, keadaan politik dan pentadbiran negeri ketika ini juga menunjukkan perubahan positif di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor, selaras dengan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
“Kita bersyukur kerana keadaan hari ini telah banyak berubah dan kita tidak lagi merasakan diri kita dibelakangkan. Kerajaan yang ada pada hari ini menunjukkan banyak perubahan yang positif,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Penasihat Perdana PBS, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan atas sumbangan dan pengorbanannya dalam perjuangan parti sejak penubuhan PBS.
Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan pelbagai program sempena sambutan ulang tahun ke-41 PBS termasuk perlawanan persahabatan boling anjuran Pergerakan Wanita, perlawanan bola sepak persahabatan oleh Pemuda serta pertandingan golf yang akan diadakan pada Sabtu ini.
Menurutnya, aktiviti seumpama itu bukan sahaja memeriahkan sambutan ulang tahun parti tetapi turut menjadi platform mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan kepimpinan serta ahli parti.
“Yang penting bukan menang atau kalah, tetapi penglibatan kita semua dalam aktiviti ini kerana ia mampu merapatkan lagi silaturahim dan memperkukuhkan semangat kekeluargaan dalam parti,” katanya.
Presiden PBS, Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili; Timbalan-timbalan Presiden, Datuk Seri Dr. Yee Moh Chai dan Datuk Jahid Jahim; Setiausaha Agung, Datuk Julita Majungki; Ketua Penerangan, Datuk Joniston Bangkuai; Ketua Wanita, Datin Seri Malianah Ugau; Ketua Pemuda, Datuk Christoper Mandut; dan para pemimpin lain.


































