KOTA KINABALU: Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Sabah memberi jaminan bahawa bekalan protein berasaskan ayam serta daging lembu dan kerbau adalah mencukupi bagi menampung permintaan semasa sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.
Pengarah DVS, Dr. Zul Bahar Abdul Rashid berkata, pihaknya komited memastikan kestabilan bekalan makanan tersebut supaya keperluan rakyat di negeri ini terus terjamin sepanjang musim perayaan.
Menurut beliau, berdasarkan unjuran jabatan bagi tempoh lima bulan pertama tahun 2026, pengeluaran tempatan daging ayam di Sabah dianggarkan mencecah 29,916.65 tan metrik.
“Bagi daging ruminan yang melibatkan lembu dan kerbau pula, jumlah pengeluaran tempatan dianggarkan sebanyak 3,185 tan metrik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dr. Zul berkata, sebagai langkah proaktif bagi menampung sebarang peningkatan permintaan ayam bulat menjelang musim perayaan, jabatan itu telah membenarkan kemasukan import ayam bulat seawal Disember tahun lalu.
Katanya, langkah tersebut diambil bagi memastikan bekalan di pasaran sentiasa mencukupi dan stabil untuk kegunaan pengguna di negeri ini.
Mengulas mengenai rampasan produk hasilan haiwan sejuk beku di sebuah gudang di Penampang pada 3 Mac lalu yang melibatkan produk berasaskan ruminan dan ayam, beliau menjelaskan bahawa DVS telah membuat semakan terhadap perkara itu.
“DVS ingin memaklumkan bahawa tiada sitaan dibuat ke atas 542,519.16 kilogram produk tersebut di bawah Enakmen Haiwan 2015 kerana kesemua produk mempunyai lesen import yang sah,” katanya.
Beliau menambah bahawa pihak jabatan akan terus memantau perkembangan bekalan dan permintaan semasa bagi memastikan kestabilan bekalan makanan serta kelangsungan industri ternakan di Sabah sentiasa terjamin.


































