Ewon Benedick
KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri Sabah merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan, Datuk Ewon Benedick memaklumkan bahawa laporan siasatan awal berkaitan insiden perlanggaran railbus dengan motor troli di KM134/4 Pangi, Tenom pada 3 Mac 2026, akan dibentangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri Sabah pada 11 Mac 2026.
Menurut Ewon, beliau telah menerima laporan siasatan awal daripada Pengarah Jabatan Keretapi Negeri Sabah (JKNS), dan laporan tersebut telah dipanjangkan kepada pejabat Ketua Menteri Sabah hari ini.
“Susulan kejadian ini, saya telah meminta laporan daripada Pengarah JKNS dan laporan siasatan awal telah diberikan kepada saya. Saya akan membentangkan laporan ini dalam mesyuarat Jemaah Menteri Sabah pada 11 Mac 2026,” katanya.
Beliau menekankan bahawa keselamatan perkhidmatan keretapi sentiasa menjadi keutamaan kementeriannya, dan setiap langkah akan diambil untuk memastikan kejadian seumpama ini dapat dielakkan pada masa akan datang.
Dalam kenyataan berasingan, JKNS menjelaskan bahawa insiden berkenaan melibatkan perkhidmatan keretapi dan motor troli di landasan keretapi Tenom–Pangi, KM134/4.
JKNS telah mengaktifkan Siasatan Dalaman melalui Board of Enquiry (Badan Penyiasatan Dalam) selaras dengan prosedur penyiasatan yang berkuat kuasa, selain membuat laporan polis di Balai Polis Tenom bagi tindakan lanjut pihak berkuasa.
Menurut JKNS, sebarang tindakan susulan akan dijalankan berdasarkan hasil laporan Board of Enquiry dan selaras dengan peruntukan yang termaktub dalam Enakmen Keretapi 2017.
“Insiden ini tidak melibatkan kemalangan jiwa. Pihak JKNS berasa kesal atas kejadian yang berlaku dan siasatan dalaman serta siasatan polis sedang giat dijalankan,” menurut kenyataan tersebut.
JKNS juga menegaskan bahawa semua kakitangan dan operasi keretapi akan terus mematuhi prosedur keselamatan ketat, termasuk pemantauan rutin landasan dan peralatan, bagi memastikan perjalanan railbus selamat dan lancar.


































