Dr. Joachim (empat dari kiri) menerima cenderamata daripada Daipah.
KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam menerima kunjungan hormat daripada Persatuan Pencegah Kanser Sabah (PPKS) di pejabat beliau, di sini, Selasa.
Rombongan PPKS diketuai Pengerusinya, Daipah Mosikin; Penasihat PPKS, Lawrence Imui; Setiausaha serta Ahli Jawatankuasa (AJK) persatuan.
Kunjungan tersebut diadakan untuk mengeratkan hubungan kerjasama strategik antara PPKS dan Kerajaan Negeri, selain membincangkan cadangan pelaksanaan serta pelancaran Program Jejak Kanser 2026 di Dewan Masyarakat Ranau pada 28 Mac 2026.
Dalam pertemuan itu, PPKS turut membentangkan laporan pelaksanaan Program Jejak Kanser yang telah diperkenalkan sejak Mac 2025.
Menurut Daipah, sepanjang tempoh tersebut, sebanyak 16 program berjaya dilaksanakan di beberapa daerah di seluruh Sabah, dan menerima sambutan yang amat menggalakkan daripada masyarakat setempat.
Tambah beliau, program berkenaan memberi fokus kepada pengesanan awal kanser payu dara dan kanser serviks, di samping menyediakan saringan kesihatan serta ceramah kesedaran mengenai bahaya dan pencegahan kanser.
Katanya, antara inisiatif yang mendapat perhatian peserta ialah ujian Smokerlyzer, iaitu pemeriksaan kandungan karbon monoksida dalam paru-paru bagi menilai tahap pendedahan individu terhadap asap rokok.
Inisiatif itu dilihat mampu meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai risiko merokok dan kepentingan menjaga kesihatan paru-paru.
Daipah turut memaklumkan bahawa Pelancaran Program Jejak Kanser 2026 bakal menjadi platform memperluas capaian program ke lebih banyak kawasan luar bandar.
Jejak Kanser 2026 yang dijangka akan dirasmikan oleh Dr. Joachim itu adalah selaras dengan usaha meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pengesanan awal kanser dan amalan gaya hidup sihat secara berterusan.
Sementara itu, Dr. Joachim menyatakan sokongan penuh beliau terhadap usaha murni PPKS dalam memperkasa kesedaran kesihatan awam di Sabah.
Beliau berkata, pengesanan awal merupakan kunci utama dalam meningkatkan kadar kelangsungan hidup pesakit kanser, selain mengurangkan beban rawatan pada peringkat lewat.
Justeru, beliau menggalakkan masyarakat untuk mengambil peluang menyertai program-program saringan kesihatan yang dianjurkan, demi kesejahteraan diri dan keluarga.


































