Aksyah Haji Nasrah
KOTA KINABALU: Aktivis politik, Aksyah Haji Nasrah menyifatkan tindakan Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor mengetuai bacaan Ikrar Bebas Rasuah (IBR) sebagai langkah proaktif dan signifikan dalam merealisasikan agenda reformasi institusi pentadbiran negeri.
Beliau berkata, tindakan Ketua Menteri itu pada 25 Februari lalu membuktikan komitmen jelas Kerajaan Negeri dalam menangani isu rasuah bermula di peringkat tertinggi pentadbiran.
“Pendekatan kepimpinan melalui teladan yang ditunjukkan Hajiji memberi isyarat bahawa integriti bukan sekadar slogan, sebaliknya diterjemahkan melalui tindakan konkrit.
“Bermula daripada Kabinet Sabah, saya yakin usaha ini akan diperluaskan ke peringkat kementerian serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di negeri ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Aksyah berkata, kejayaan pelaksanaan agenda Hala Tuju Sabah Maju Jaya 2.0 (SMJ 2.0) amat bergantung kepada tahap integriti dan kecekapan tadbir urus institusi awam memandangkan pelaksanaannya melibatkan peruntukan serta sumber yang besar.
Menurutnya, nilai integriti perlu diletakkan sebagai paksi utama bagi memastikan setiap institusi pentadbiran di Sabah ditadbir secara telus, berakauntabiliti dan berkesan.
“Wawasan besar seperti SMJ 2.0 memerlukan pengurusan sumber yang cekap dan berkualiti. Tanpa integriti, matlamat pembangunan yang dirancang sukar dicapai sepenuhnya,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menyeru rakyat supaya bersama-sama menyokong usaha berkenaan dengan bertindak sebagai ‘mata dan telinga’ kerajaan dalam memastikan tiada unsur pecah amanah atau penyelewengan berlaku terhadap program dan dana awam.
Katanya, kewujudan Bahagian Integriti dan Governans Negeri Sabah (BIGoNS) di setiap peringkat pentadbiran perlu dimanfaatkan sepenuhnya sebagai pemacu kepada kejayaan agenda memperkukuh tatakelola kerajaan.
“Rakyat perlu bersifat tahu, mesra dan membantu saluran yang disediakan, termasuk BIGoNS, sekiranya terdapat unsur penyelewengan. Sokongan padu masyarakat amat penting bagi memastikan sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan terus diperkasakan,” katanya.
Beliau optimis usaha murni Ketua Menteri bersama barisan Kabinet serta sokongan rakyat akan memastikan nilai integriti benar-benar diangkat sebagai teras pelaksanaan SMJ 2.0.
“Sungguh rakyat memilih kerajaan yang benar,” katanya.


































