David Chan
KOTA KINABALU: Yayasan Pengguna Negara Malaysia (YPNM) Cawangan Sabah menggesa semua peniaga mengekalkan integriti dan keadilan dalam amalan perniagaan serta tidak membentuk kartel atau terlibat dalam aktiviti pencatutan menjelang bulan Ramadan.
Pengerusinya, David Chan menyuarakan kebimbangan terhadap kemungkinan wujudnya tindakan bersepakat dalam kalangan peniaga untuk memanipulasi bekalan dan menaikkan harga barangan makanan asas secara tidak munasabah, khususnya makanan sejuk beku import dan tempatan.
Beliau berkata, amalan tidak beretika itu disifatkan memberi beban yang tidak perlu kepada pengguna, lebih-lebih lagi pada bulan puasa apabila permintaan makanan lazimnya meningkat.
Menurut beliau, sebarang bentuk manipulasi harga atau kenaikan harga tanpa justifikasi merupakan pelanggaran serius terhadap hak pengguna serta undang-undang negara.
Sehubungan itu, YPNM mengingatkan peniaga bahawa tindakan penguatkuasaan tegas boleh diambil di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti-Pencatutan 2011 yang dikuatkuasakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan kos Sara Hidup (KPDN).
Di bawah Seksyen 14 akta berkenaan, peniaga yang didapati bersalah boleh dikenakan hukuman berat termasuk denda sehingga RM100,000 atau penjara bagi individu serta denda sehingga RM500,000 bagi syarikat.
Chan turut menyatakan sokongan penuh terhadap pelaksanaan Ops Pantau 2026 oleh KPDN dan menggesa pemantauan serta penguatkuasaan berterusan bagi memastikan harga barangan kekal adil dan terkawal sepanjang Ramadan dan Hari Raya.
Selain itu, pengguna digalakkan sentiasa berwaspada serta melaporkan sebarang kenaikan harga mencurigakan atau amalan perniagaan tidak beretika kepada pihak berkuasa berkaitan.
Chan menegaskan bahawa Ramadan merupakan bulan muhasabah, keprihatinan dan kebersamaan, justeru para peniaga diseru bertindak secara bertanggungjawab tanpa mengambil kesempatan terhadap pengguna demi keuntungan berlebihan.
“Harga yang adil bukan sahaja satu kewajipan undang-undang, tetapi juga tanggungjawab moral kepada masyarakat,” ujar Chan.
































