Masiung (kiri) bersama Nizam (dua dari kanan) dan Dr. Anal (kanan) ketika lawatan kerja ke tapak Kompleks Sukan Tongod.
TONGOD: Kementerian Belia dan Sukan Sabah (KBSK) memberi jaminan untuk meneruskan projek Kompleks Sukan Tongod yang tertangguh pembinaannya sejak Julai tahun lalu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah berkata, lawatan kerja Menteri KBSK, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan ke tapak projek itu kelmarin mengakhiri kemelut projek berkenaan yang dikhuatiri menjadi “projek gajah putih”.
“Saya berpuas hati kerana menteri sendiri memberi jaminan bahawa Kompleks Sukan ini akan diberi perhatian serius dan kontraktor baharu akan dilantik dalam masa terdekat bagi menyiapkan projek tersebut.
“Saya juga akan mengambil peranan menyusul perkara ini supaya projek ini dapat dipercepatkan,” tegasnya ketika ditemui media di tapak projek berkenaan.
Menurut Masiung, walaupun beliau sebelum ini berusaha mendapatkan projek tersebut untuk daerah Tongod, kontraktor yang dilantik kerajaan terdahulu amat mengecewakan.
Dalam sidang Dewan Undangan Negeri pada Disember lalu, beliau lantang mendesak KBSK supaya mengambil perhatian serius dan memastikan projek terbiar itu segera disiapkan.
Pengerusi Kumpulan SEDCO itu turut menggesa KBSK meneliti kemampuan kontraktor baharu yang bakal dilantik agar isu kelewatan projek tidak berulang.
Turut hadir dalam lawatan kerja itu ialah Pembantu Menteri KBSK, Datuk Seri Dr. Anal Sandhu; Setiausaha Tetap KBSK, Datuk Mansor Adun; serta Pegawai Daerah Tongod, Hadzlan Jablee.






























