Chayathanus “Cheraim” Saradatta
KOTA KINABALU: Ratu The Miss Globe 2025, Chayathanus “Cheraim” Saradatta dari Thailand tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) pada jam 8.45 malam tadi bagi memulakan lawatan rasmi tiga hari ke Sabah.
Ketibaan beliau yang mencipta sejarah sebagai wakil pertama Thailand menjuarai pertandingan berprestij itu dalam tempoh 100 tahun penganjurannya disambut dengan penuh mesra sebelum menghadiri majlis makan malam alu-aluan bersama pihak media di Crab House pada jam 9.30 malam.
Cheraim dimahkotakan sebagai The Miss Globe 2025 pada 15 Oktober 2025 di Palace of Congresses, Tirana, Albania, menggantikan Diana Moreno dari Colombia. Sejak itu, beliau aktif menjalankan tugas rasmi termasuk jelajah antarabangsa ke beberapa negara Asia.
Lawatan ke Sabah merupakan sebahagian daripada Asia Tour 2026 beliau, selepas kunjungan ke Nepal, Vietnam dan Filipina. Di Filipina, beliau berada dari 25 hingga 29 Januari lalu bagi meraikan ulang tahun kelahirannya serta menyaksikan pembaharuan kerjasama antara Binibining Pilipinas dan The Miss Globe Organization.
Sepanjang berada di Sabah dari 11 hingga 13 Februari 2026, Cheraim dijadualkan menyertai pelbagai program kebajikan, pelancongan dan kebudayaan yang menonjolkan keunikan negeri ini di peringkat antarabangsa.

Pada 12 Februari, beliau akan memulakan hari dengan program kebajikan bersama Tavan pada jam 9.30 pagi sebelum menghadiri makan tengah hari di Sutera Harbour Resorts. Seterusnya, beliau akan menjalani sesi persalinan busana tradisional dan fotografi pada jam 1 petang.
Beliau turut dijadual melawat beberapa lokasi ikonik sekitar ibu negeri termasuk papan tanda Kota Kinabalu dan Masjid Terapung sebelum menikmati pelayaran matahari terbenam bersama KK Yacht dari jam 5 hingga 7 petang.
Pada sebelah malam, Cheraim akan menghadiri majlis makan malam di Kampung Nelayan yang diserikan dengan persembahan kebudayaan tradisional, sekali gus memberi peluang kepadanya mengenali warisan seni dan budaya Sabah dengan lebih dekat.
Hari terakhir lawatan pada 13 Februari akan dimulakan dengan Heritage Trail di Menara Jam Atkinson pada jam 10 pagi, diikuti makan tengah hari di Borenos serta kunjungan hormat kepada Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sabah, Julinus Jeffery Jimit pada jam 12.30 tengah hari.
Beliau juga dijadual menyertai aktiviti riadah ATV di Dalit Bay pada jam 4 petang (tertakluk pengesahan), sebelum menikmati makan malam di KKIA Sup Ikan dan menyertai lawatan melihat kelip-kelip pada sebelah malam sebelum berlepas pulang.

Cheraim memberi tumpuan kepada advokasi hak asasi manusia, keterangkuman etnik serta memperjuangkan nasib golongan orang kurang upaya dan komuniti terpinggir.
Latar belakangnya turut mencerminkan ketabahan apabila beliau terbuka berkongsi pengalaman mengatasi cabaran peribadi termasuk kecacatan bibir dan isu kejelasan pertuturan, yang akhirnya menjadi kekuatan dalam kerjaya pengucapan awam dan peragaan.
Sebelum kejayaan di pentas antarabangsa, beliau pernah mewakili Lamphun dalam Miss Grand Thailand 2023 dan muncul sebagai Naib Johan Pertama Miss Grand Thailand 2025. Berketinggian 180 sentimeter, beliau memiliki ijazah sarjana muda dari Ramkhamhaeng University.
Lawatan Cheraim ke Sabah dijangka bukan sahaja memperkukuh hubungan pelancongan serantau, malah memberi pendedahan antarabangsa kepada keindahan alam semula jadi, kepelbagaian budaya dan keramahan rakyat negeri ini.


































