Ewon Benedick
KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan (MINDET) terus komited menangani isu kesesakan di Pelabuhan Kontena Teluk Sapangar (SBCP) melalui pelaksanaan lapan pelan tindakan sementara yang telah diluluskan Jemaah Menteri sejak Februari lalu.
Menterinya, Datuk Ewon Benedick berkata, status terkini pelaksanaan pelan tersebut telah dimaklumkan kepada Jemaah Menteri sebagai sebahagian daripada usaha berterusan memperbaiki kecekapan operasi pelabuhan.
“Kerajaan Negeri melalui MINDET kekal komited memastikan semua pelan tindakan interim ini dilaksanakan secara berkesan bagi mengurangkan kesesakan serta meningkatkan kecekapan operasi di SBCP,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Antara langkah utama yang sedang diusahakan termasuk penyediaan kawasan tambahan seluas 14 ekar bagi meningkatkan kapasiti penyimpanan kontena.
Selain itu, pelaksanaan kadar tarif baharu serta pengurangan tempoh simpanan percuma kontena semasa musim puncak daripada lima hari kepada tiga hari turut menunjukkan impak positif.
Langkah itu akan dinilai semula selepas tempoh tiga bulan bagi memastikan keberkesanannya kepada semua pihak berkepentingan.
Dalam masa sama, Lembaga Pelabuhan-Pelabuhan Sabah (LPPS) bersama Jabatan Kastam Diraja Malaysia sedang menyelaras prosedur operasi standard berkaitan pelupusan dan pelelongan kontena lebih tempoh.
Ia melibatkan kontena yang berada lebih 21 hari di pelabuhan serta barangan mudah rosak melebihi 24 jam, yang kini menunjukkan pengurangan selepas pelaksanaan langkah berkenaan.
Bagi meningkatkan kecekapan operasi, semua agensi berkaitan turut menyokong pelaksanaan operasi 24 jam termasuk pada cuti umum, tertakluk kepada permohonan dan pemakluman awal.
Selain itu, pelaksanaan Vehicle Booking System (VBS) yang diwajibkan kepada semua pengendali lori sejak 1 April lalu membantu mengawal kemasukan lori secara berjadual dan mengurangkan kesesakan di pintu masuk pelabuhan.
Operator pelabuhan, DPW Sabah, juga mengambil langkah proaktif dengan menaik taraf peralatan termasuk penyewaan Reach Stackers, Internal Transfer Vehicles serta perolehan Rubber Tyred Gantry Crane secara berperingkat sehingga 2027.
Pada masa sama, kawasan parkir trailer di Kota Kinabalu Industrial Park (KKIP) sedang disiapkan bagi melancarkan pergerakan kenderaan berat terutama pada waktu luar puncak.
Ewon berkata, dua inisiatif baharu turut diluluskan Jemaah Menteri iaitu pemindahan sementara operasi RORO ke Pelabuhan Kota Kinabalu bermula 15 Mei serta pelaksanaan Berthing Window Programme mulai 22 Mei.
“Pemindahan operasi RORO dijangka meningkatkan kapasiti pemunggahan kontena sehingga 20 peratus, manakala penjadualan kapal melalui Berthing Window Programme akan mengurangkan kesesakan di perairan,” katanya.
Beliau berkata, sebuah pasukan petugas khas turut ditubuhkan dan dipengerusikan sendiri olehnya bagi memastikan semua inisiatif dilaksanakan secara menyeluruh dan berkesan.
































