Christoper Mandut
KOTA KINABALU: Ketua Exco Pemuda Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Christoper Mandut menyatakan sokongan penuh terhadap pendirian Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor berhubung penangguhan pelaksanaan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Malaysia di Sabah.
Sokongan itu dizahirkan susulan kenyataan Ketua Menteri yang menegaskan keperluan mempertahankan autonomi imigresen Sabah seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) serta peruntukan undang-undang sedia ada.
Menurut Christoper, langkah menangguhkan pelaksanaan AKPS adalah wajar bagi memastikan hak imigresen negeri tidak terhakis, memandangkan kuasa tersebut merupakan hak eksklusif Sabah yang perlu terus dipelihara.
“Kerana itu memang kuasa kita,” tegasnya dalam satu kenyataan, mengulas kenyataan Hajiji yang menegaskan bahawa sebarang pelaksanaan berkaitan kawalan sempadan dan imigresen mesti mengambil kira kedudukan istimewa Sabah sebagai negeri yang mempunyai autonomi imigresen tersendiri.
Christoper berkata, Pemuda PBS akan terus berdiri teguh di belakang Ketua Menteri dalam mempertahankan hak-hak Sabah, khususnya melibatkan bidang kuasa imigresen negeri.
“Isu ini bukan sekadar soal pentadbiran, tetapi melibatkan usaha mempertahankan hak dan autonomi Sabah yang telah diperjuangkan sejak sekian lama,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menyatakan sokongan terhadap kenyataan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd. Ali yang menyentuh kepentingan mempertahankan hak Sabah dalam isu AKPS.
“Saya juga menyokong kenyataan Datuk Armizan mengenai perkara ini,” tambahnya.
Terdahulu, media melaporkan keputusan Hajiji untuk menangguhkan pelaksanaan AKPS di negeri ini bagi memastikan hak autonomi imigresen Sabah terus terpelihara serta tidak bercanggah dengan semangat MA63.
































