KOTA BELUD: Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan (MINDET), Datuk Ewon Benedick meminta semua jabatan, agensi serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di bawah kementerian itu supaya membentangkan laporan kesiapsiagaan masing-masing bagi menghadapi situasi banjir.
Beliau berkata, langkah itu penting bagi memastikan kementerian serta jabatan dan agensi berkaitan dapat mengambil tindakan segera dan berkesan dalam menangani sebarang kejadian luar jangka.
“Saya akan mendapatkan laporan daripada Setiausaha Tetap selaku Ketua Perkhidmatan Awam dari semasa ke semasa mengenai perkara ini.
“Pada Rabu ini saya akan mempengerusikan Mesyuarat Kementerian yang melibatkan semua jabatan, agensi dan GLC di bawah MINDET selepas Mesyuarat Kabinet.
“Pada hari Rabu ini, saya akan mempengerusikan Mesyuarat Kementerian yang melibatkan semua jabatan, agensi dan GLC di bawah MINDET selepas Mesyuarat Kabinet.
“Antara perkara utama yang ingin saya teliti ialah tahap kesiapsiagaan jabatan-jabatan berkaitan dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing, khususnya berkaitan situasi banjir yang sedang melanda beberapa kawasan ketika ini,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Krismas dan Tahun Baharu 2026 Kadamaian di Dewan Kadamaian Square, di sini, hari ini.
Ketika ini dua pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka membabitkan daerah Kota Belud dan Beaufort.
Ewon berkata, stuasi banjir di Beaufort perlu diberi perhatian kerana ia berpotensi menjadi isu keselamatan kepada pengguna perkhidmatan kereta api di kawasan itu.
Sehubungan itu, beliau akan meminta Jabatan Keretapi Negeri Sabah serta jabatan-jabatan berkaitan membentangkan laporan terperinci mengenai situasi semasa, termasuk langkah-langkah mitigasi yang sedang dan akan dilaksanakan.
Ewon berkata, setakat ini beliau belum menerima laporan berkaitan penangguhan perkhidmatan keretapi.
“Perkara ini akan dibincangkan dalam mesyuarat kementerian pada Rabu ini. Bagaimanapun kita akan terus memantau keadaan banjir di Beaufort.
“Sekiranya terdapat keperluan untuk menangguhkan perkhidmatan akibat laluan kereta api yang tidak selamat untuk dilalui, saya percaya keputusan itu adalah langkah terbaik kerana kita tidak mahu mengambil risiko,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa aspek keselamatan mesti menjadi keutamaan nombor satu Jabatan Keretapi, meskipun perkhidmatan dari Beaufort ke Kota Kinabalu digunakan oleh ramai penumpang termasuk penjawat awam yang bekerja di Kota Kinabalu.
Sementara itu, lebih 5,000 orang menghadiri Sambutan Rumah Terbuka Krismas dan Tahun Baharu Kadamaian anjuran MINDET dan ADUN Kadamaian itu.
Ewon berkata, acara seumpama ini menjadi platform penting dalam menyantuni rakyat Sabah khususnya menghargai sokongan berterusan rakyat Kadamaian yang telah memberikan mandat besar pada pilihan raya lalu.
“Sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan serta sebagai pemimpin negeri, saya meraikan rakyat Sabah khususnya di Kadamaian pada majlis ini yang sememangnya saya anjurkan sejak dipilih sebagai wakil rakyat Kadamaian.
“Majlis seperti ini memberi ruang kepada kita untuk berinteraksi secara langsung, mengeratkan silaturahim, memperkukuhkan keharmonian dan memperkasakan perpaduan. Inilah asas utama yang diperlukan untuk memajukan Sabah,” katanya.
Ewon berkata, Rumah Terbuka seumpama ini menghimpunkan ribuan rakyat daripada pelbagai latar belakang termasuk wakil pelbagai parti politik, jabatan-jabatan kerajaan, dewan-dewan perniagaan serta pemimpin-pemimpin gereja, sekali gus mencerminkan semangat perpaduan dan kebersamaan dalam kalangan masyarakat.
Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada seluruh rakyat Kadmaian kerana hadir memeriahkan sambutan itu walaupun hujan.
“Walaupun cuaca hujan lebat pada sebelah awal majlis, ia tidak menghalang kehadiran ribuan rakyat, untuk hadir.
“Ini memberi mesej jelas bahawa rakyat mengharapkan kepimpinan yang konsisten dalam memajukan Kadamaian serta meneruskan program-program kesejahteraan rakyat,” katanya.
Ewon turut menyambut baik kehadiran pemimpin-pemimpin daripada parti-parti berbeza dan menegaskan bahawa perbezaan pandangan adalah perkara biasa dalam proses demokrasi, khususnya semasa pilihan raya.
“Namun selepas kerajaan dibentuk, kita perlu kembali bersatu dan bekerjasama demi kepentingan rakyat. Rakyat mengharapkan kepimpinan yang mampu menyatukan, bukan memecah-belahkan,” katanya.
Beliau menambah, kebersamaan seperti ini perlu diperluaskan bukan sahaja dalam sambutan rumah terbuka, tetapi juga melalui inisiatif lain termasuk mesyuarat dan perbincangan yang menjurus kepada pengukuhan perpaduan kepimpinan negeri.
Menyentuh isu tuntutan Sabah dalam Perjanjian Malaysia, Ewon menegaskan bahawa perkara itu bukan tanggungjawab satu parti semata-mata, sebaliknya merupakan tanggungjawab Kerajaan Sabah yang perlu melibatkan semua parti dan semua wakil rakyat sama ada di peringkat Dewan Undangan Negeri mahupun Parlimen.
“Saya konsisten menyatakan bahawa kita perlu bersatu untuk Sabah,” katanya.






























