Azrul Ibrahim
KOTA KINABALU: Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) menegaskan bahawa kenyataan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada parti Warisan yang mengaitkan peningkatan jumlah bukan warganegara di Sabah dengan isu Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) adalah mengelirukan dan tidak berlandaskan tafsiran data rasmi Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Pemangku Ketua Pemuda Gagasan Rakyat, Azrul Ibrahim berkata, istilah bukan warganegara tidak bermaksud ‘pendatang haram’ semata-mata, sebaliknya merangkumi Pendatang Asing Dengan Izin (PADI) seperti pekerja asing berpermit sah, pemegang pas kerja sementara, pelajar serta tanggungan mereka.
“Hakikatnya, PADI membentuk majoriti dalam kelompok bukan warganegara, manakala PATI hanyalah sebahagian kecil, tidak seperti gambaran mengelirukan yang cuba ditampilkan oleh pimpinan Warisan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Azrul berkata, peningkatan angka bukan warganegara di Sabah turut dipengaruhi oleh pemulihan pasca COVID-19, penghijrahan ekonomi ke bandar-bandar utama seperti Kota Kinabalu serta pelaksanaan Pendataan Digital Warga Asing di Sabah sejak dua tahun lalu.
Beliau menjelaskan, pendataan itu bukan mewujudkan kemasukan baharu, sebaliknya mendedahkan jumlah sebenar pekerja asing yang sedia ada tetapi sebelum ini tidak direkodkan secara menyeluruh.
“Cubaan memutarbelit data yang jelas ini menunjukkan usaha menutup rekod lama mereka dalam isu PATI. Rakyat Sabah tidak memerlukan tajuk sensasi, sebaliknya penjelasan berfakta dan penyelesaian sebenar,” tegasnya.
Beliau menambah, Pemuda Gagasan Rakyat kekal konsisten bahawa isu keselamatan dan kedaulatan negeri mesti ditangani berasaskan data yang tepat, penguatkuasaan berkesan serta dasar yang bertanggungjawab, dan bukannya melalui permainan persepsi politik.


































