KOTA KINABALU: Kementerian Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi (KPSTI) memandang serius peningkatan aktiviti perjudian dalam talian yang semakin berleluasa dan memberi kesan negatif kepada masyarakat, khususnya golongan belia serta pelajar.
Menterinya, Datuk James Ratib berkata, aktiviti perjudian dalam talian bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah membawa implikasi sosial, kewangan dan keselamatan yang besar kepada keluarga serta komuniti.
“Kerajaan Negeri Sabah menegaskan bahawa usaha memerangi perjudian dalam talian memerlukan kerjasama pelbagai agensi penguatkuasaan di peringkat Persekutuan dan Negeri, khususnya MCMC dan Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya ketika menerima kunjungan hormat Pasukan Penguatkuasa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Sabah yang diketuai Irwan Mohamed hari ini bagi membincangkan isu perjudian atas talian yang kian membimbangkan.
James berkata, MCMC memainkan peranan penting dari sudut kawal selia rangkaian dan platform komunikasi termasuk menyekat laman web, aplikasi serta kandungan yang mempromosikan atau memudahkan perjudian dalam talian.
KPSTI, katanya, menyokong sepenuhnya tindakan berterusan MCMC dalam memperkukuh pemantauan, sekatan laman web haram serta kerjasama dengan penyedia perkhidmatan telekomunikasi bagi mengekang akses kepada platform perjudian.
Dalam masa yang sama, PDRM berperanan melaksanakan penguatkuasaan undang-undang melalui siasatan, tangkapan dan pendakwaan terhadap sindiket serta individu yang terlibat dalam kegiatan perjudian dalam talian.
“Kerjasama rapat antara PDRM dan MCMC amat penting bagi memastikan tindakan yang lebih menyeluruh dan berkesan dapat diambil, termasuk membanteras rangkaian sindiket yang beroperasi secara rentas sempadan serta menggunakan modus operandi baharu,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa KPSTI akan memperkukuh aspek pendidikan dan kesedaran digital dalam kalangan pelajar, ibu bapa serta guru berkaitan risiko perjudian dalam talian, penipuan siber dan keselamatan penggunaan internet.
Pendekatan pencegahan melalui literasi digital, bimbingan kaunseling serta pengukuhan nilai akan terus menjadi fokus kementerian, seiring dengan usaha penguatkuasaan yang sedang dilaksanakan oleh pihak berkuasa.
Kerajaan Negeri, katanya, menyeru semua pihak termasuk sekolah, institusi pengajian tinggi, komuniti setempat, pemimpin masyarakat dan ibu bapa untuk bersama-sama memainkan peranan membendung gejala tersebut.
Orang ramai yang mempunyai maklumat atau aduan berkaitan perjudian dalam talian digesa menyalurkannya kepada MCMC dan PDRM melalui saluran aduan rasmi yang disediakan.
KPSTI kekal komited untuk bekerjasama rapat dengan MCMC, PDRM serta agensi berkaitan bagi memastikan ruang siber di Sabah sentiasa selamat, beretika dan sihat demi pembangunan pendidikan serta masa depan generasi muda negeri ini.


































