Pasukan bomba mengeluarkan mangsa daripada Toyota Unser yang terlibat. – Ihsan Bomba
BELURAN: Seorang lelaki dewasa maut manakala lima lagi mangsa cedera dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Jalan Telisai Sapi Nangoh, di sini, tengah hari tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.57 tengah hari sebelum sepasukan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beluran dikejarkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 45 kilometer dari balai.
Menurutnya, jentera tiba di lokasi pada jam 1.38 petang dan mendapati kemalangan melibatkan sebuah Toyota Hilux dan sebuah Toyota Unser yang bertembung.
“Terdapat enam mangsa terlibat dalam kemalangan ini. Empat mangsa yang berada di dalam Toyota Hilux mengalami kecederaan ringan.
“Bagi Toyota Unser pula, seorang lelaki dewasa telah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, seorang lagi mangsa perempuan dewasa yang berada di dalam Toyota Unser mengalami kecederaan dan telah dihantar ke Hospital Beluran menggunakan ambulans KKM untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Operasi dikawal sepenuhnya sebelum ditamatkan pada jam 2.56 petang setelah pasukan bomba memastikan keadaan di lokasi selamat.
Operasi diketuai oleh PBK II Isfloronny Lim selaku Komander Operasi, dibantu PPgB Edoen Macheal sebagai Komander Operasi Kanan, dengan sokongan enam anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan tiga petugas KKM.


































