KOTA KINABALU: Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk James Ratib hari ini mengumumkan penyaluran bantuan segera kepada Sekolah Kebangsaan (SK) Rampayan, Menggatal, yang terjejas akibat bencana banjir yang melanda kawasan tersebut sejak dua hari lalu hingga semalam.
Bantuan ini disalurkan susulan lawatan kerja beliau ke sekolah berkenaan bagi meninjau tahap kerosakan serta memastikan kelangsungan sesi persekolahan murid tidak terjejas.
Lawatan tersebut turut disertai oleh Pembantu Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Jordan Jude Ellron; Pegawai Pendidikan Daerah Kota Kinabalu, Johari Sabin; Guru Besar SK Rampayan, Ropinah Moktar; Ketua Kampung Rampayan, Awangku Samsu Pengiran Mobin; serta pegawai-pegawai Jabatan Pendidikan Negeri Sabah.
Hasil pemantauan mendapati kerosakan melibatkan perabot murid, peralatan teknologi maklumat serta kemudahan bilik guru, yang memerlukan tindakan segera sebelum sesi persekolahan diteruskan.
Sehubungan itu, James telah mengarahkan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah untuk membekalkan sekitar 300 unit meja dan kerusi murid, menggantikan lebih kurang 10 unit komputer dan sebuah pencetak yang rosak, serta menyediakan kira-kira 40 unit meja dan kerusi guru bagi menggantikan peralatan yang terjejas akibat banjir.
“Semua bantuan dan kelengkapan berkenaan perlu dibekalkan segera serta dihantar ke sekolah ini sebelum pembukaan sesi persekolahan pada Isnin minggu hadapan, bagi memastikan keselesaan, keselamatan dan kelangsungan pembelajaran murid,” katanya.
James turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Pendidikan Negeri Sabah atas tindakan pantas dalam menyelaras bantuan, serta kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Pejabat Pendidikan Daerah dan semua pihak yang terlibat yang telah membantu kerja-kerja pembersihan serta pemulihan sekolah.
Selain SK Rampayan, beberapa sekolah lain turut dikenal pasti terjejas akibat bencana banjir. Kementerian akan terus memantau keadaan dan menyalurkan bantuan sewajarnya mengikut keperluan semasa.
James turut memaklumkan bahawa syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di bawah kementerian akan digerakkan bagi menyalurkan bantuan segera kepada sekolah-sekolah yang terjejas sebagai sokongan tambahan kepada usaha pemulihan.
Kementerian Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi menegaskan komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam memastikan kebajikan murid dan guru sentiasa terpelihara, khususnya dalam situasi bencana.


































