Antara aksi-aksi menarik perlawanan akhir bola sepak lelaki antara Tenom dan Tawau di Stadium Tawau pada Khamis.
TAWAU : Pasukan Tenom muncul kuasa baharu bola sepak Sukan Sabah (SAGA) XI 2025 apabila menggondol dua “Ibu Pingat” selepas menjuarai kategori lelaki dan wanita.
Dalam saingan akhir bola sepak lelaki, di Stadium Tawau, Khamis malam, Tenom menewaskan tuan rumah Tawau 2-0, hasil jaringan Leo Elderyson Odoh (minit ke-18) dan Ezvindy Salmon (minit ke-23).
Babak pertama dikuasai sepenuhnya oleh Tenom yang tampil garang menyerang, sebelum memperkukuh benteng pertahanan pada separuh masa kedua untuk mengekalkan kedudukan hingga tamat permainan.
Kemenangan itu menobatkan Tenom sebagai pemenang pingat emas bola sepak lelaki, diikuti Tawau (perak) dan Tongod (gangsa).
Dalam anugerah individu lelaki tiga pemain Tenom, Alvin Angsana dinobatkan Penjaga Gol Terbaik, Leo Elderyson Odoh muncul Penjaring Terbanyak dengan lima gol, manakala Chikonelson Kulisi menerima anugerah Pemain Terbaik.
Terdahulu, pada sebelah pagi, skuad bola sepak wanita Tenom turut meraih pingat emas, diikuti Kota Belud (perak) dan Sipitang (gangsa) yang berlangsung di padang IPG Kampus Tawau.
Bagi kategori individu wanita, Deveyanah Yajis (Tongod) diumumkan Penjaga Gol Terbaik, Evory Beatrice Marikus (Kota Belud) dinobatkan Penjaring Terbanyak dengan tujuh gol, manakala Nur Syaqilah Tasha Brahim (Tenom) meraih gelaran Pemain Terbaik.
































