Aksi-aksi di hari terakhir taekwondo SAGA XI.
TAWAU : Kontinjen Kota Kinabalu muncul juara keseluruhan acara Taekwondo sempena temasya Sukan Sabah (SAGA) XI 2025 yang berlangsung di sini.
Acara Taekwondo yang buat julung kali dipertandingkan dalam sejarah penganjuran SAGA itu menyaksikan Kota Kinabalu mengungguli kedudukan dengan kutipan empat pingat emas, satu perak dan tiga gangsa.
Kontinjen Tuaran pula menamatkan saingan di kedudukan kedua apabila meraih tiga pingat emas, satu perak dan satu gangsa, manakala Lahad Datu di tempat ketiga dengan dua emas dan satu perak.
Hari keempat pertandingan menyaksikan tiga kategori akhir dipertandingkan iaitu Male Open Middle (80.1kg–87.0kg), Male Open Heavy (lebih 87.1kg) dan Female Open Heavy (lebih 73.1kg).
Bagi acara Male Open Middle 80.1kg-87.0kg, atlet Kuala Penyu, Nathaniell Isaac Jonethan Matheus memenangi pingat emas selepas menewaskan atlet Lahad Datu, Mohamad Kahirul Lasamarah manakala gangsa dikongsi oleh atlet Keningau dan Kota Kinabalu, Muhammad Ikhmal Izzat Rozali dan Liam Barakat Walter Junior.
Sementara itu, bagi kategori Male Open Heavy Over 87.1kg, atlet Kota Kinabalu, Evan Donovan Nen berjaya membawa pulang pingat emas, menumpaskan lawan dari Keningau, Ronan Voo Ly Vui dan atlet Beaufort, Aiman Danial Mohammed Yassin dan Esammynuel Charity Charles berkongsi pingat gangsa.
Pingat emas menjadi milik atlet Penampang, Nur Fadhilah Wong bagi kategori Female Open Heavy Over 73.1kg, manakala pingat perak dimenangi atlet Putatan, Putri Nuralisyah Jatey @ Jasmie dan pingat gangsa oleh atlet Sook dan Beaufort, Ecelina Neculis dan Nursafirah Jainu.
Turut disampaikan, anugerah khas Most Valuable Player yang diberikan kepada atlet Ranau, Mohammad Daafi Syah bagi lelaki dan Sukie Alinskie Jimmy Palikat dari Kota Kinabalu bagi kategori wanita.
































