Nursyafiqah Aiya (dua kiri) menunjukkan pingat emas yang dimenangi bagi kategori Putri Putri Kelas B.
TAWAU: Daerah Paitan mengungguli arena pencak silat SAGA XI apabila membawa pulang lima emas dan anugerah Most valuable Player Putra .
Daerah yang baru sahaja menyertai SAGA itu mempamerkan semangat juang yang tinggi apabila menggondol pingat emas dalam Acara Tanding dalam kategori Putra Bawah 45, Putra Kelas B, Putra Kelas D, Puteri Kelas C dan Puteri Kelas E.
Paling mencuri tumpuan adalah pesilat Muhamad Radzfadhlur Rahman yang merangkul emas dalam kategori Putra Kelas B dan turut membawa pulang anugerah Most valuable Player (Pesilat Terbaik) Putra manakala Nursyafiqah Aiya Tarul Syharin dari Putatan dinobatkan bagi kategori puteri.
Turun dalam kategori Putra Kelas D, Mohd Syahrizan Zain menambah koleksi pungutan emas Paitan apabila berjaya mengalahkan Pesilat Sook, Jae Shanlee Aaron yang terpakas berpuas hati membawa pulang pingat perak manakala gangsa milik pesilat Beaufort dan Kunak.
Pesilat wanita Paitan turut memyumbang dua emas apabila Nur Ilyana Natasyah Abdullah yang bertanding dalam kategori Puteri Kelas C muncul juara mengecewakan pesilat Keningau, Syaidatun Farhanna Pinalus di tempat kedua manakala dalam kategori Puteri Kelas E, Nora Syafika Yanie (Paitan) beraksi cemerlang menewaskan pesilat Ranau, Nurfittri Asyilah Julah.
Lahad Datu turut berjaya mendapat tiga emas melalui kategori Puteri Kelas Bawah 45, Puteri Kelas D dan Putra Kelas G manakala Papar dan Sipitang masing-masing memperoleh dua emas.
Daripada 18 pingat emas yang ditawarkan dalam Acara Tanding, Nabawan, Tuaran, Kota Marudu, Sandakan, Putatan, Keningau masing-masing berjaya memperoleh satu emas.
































