Potongan kuku akan dibersihkan, dikeringkan dan digiling menjadi serbuk halus sebelum dicampurkan ke dalam pelbagai produk perubatan.
BEIJING: Potongan kuku yang biasanya dianggap sisa kotor kini menjadi komoditi bernilai di China susulan kepercayaan perubatan tradisional yang ia boleh digunakan untuk merawat pelbagai penyakit seperti kembung perut pada kanak-kanak dan tonsilitis.
Menurut Utusan Malaysia, laporan menyatakan, syarikat pengeluar ubat tradisional China membeli potongan kuku daripada sekolah dan kampung.
Bahan tersebut akan dibersihkan, dikeringkan dan digiling menjadi serbuk halus sebelum dicampurkan ke dalam pelbagai produk perubatan.
Memandangkan kuku manusia dewasa hanya tumbuh kira-kira 100 gram setahun, pengumpulan bahan mentah ini menjadi sukar dan mendorong harga keratan kuku kekal tinggi.
Media tempatan Kankan News melaporkan seorang wanita di wilayah Hebei menjual potongan kukunya secara dalam talian pada harga 150 yuan (RM88.76) sekilogram.
Wanita itu dilaporkan mengumpul kuku sejak kecil sebelum memutuskan untuk menjadikannya sumber pendapatan.
Amalan menggunakan keratan kuku dalam perubatan tradisional China pernah merosot sejak 1960-an apabila penggunaan pengilat kuku menjejaskan kualiti kuku.
Namun, bahan ini tidak pernah lenyap sepenuhnya dan kini dilihat kembali mendapat permintaan. Namun, hanya kuku tangan diterima.
Pengeluar menegaskan mereka meneliti stok dengan teliti dan tidak menerima kuku kaki.


































