KAHERAH: Rakyat Mesir meluahkan rasa marah dan kecewa selepas pihak berkuasa mengesahkan seutas gelang berusia 3,000 tahun milik firaun purba dicuri dari Muzium Mesir yang terkenal di Kaherah sebelum dileburkan untuk dijadikan ketulan emas.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Pelancongan dan Antikuiti, Sherif Fathy dalam kenyataan televisyen pada Sabtu lalu berkata gelang itu dicuri pada 9 September ketika kakitangan muzium menyiapkan artifak untuk dipamerkan di Itali.
Beliau menyalahkan kelemahan dalam pelaksanaan prosedur keselamatan di muzium berkenaan dan menegaskan siasatan masih dijalankan oleh pihak pendakwa raya.
Gelang bersejarah itu, yang turut mengandungi manik lapis lazuli, pernah dimiliki Firaun Amenemope yang memerintah sekitar 3,000 tahun lalu.
Pihak berkuasa menjelaskan ia diambil dari makmal restorasi muzium sebelum melalui rangkaian peniaga sehingga akhirnya dileburkan. Menteri turut mendedahkan makmal berkenaan tidak dilengkapi kamera keselamatan.
Kementerian Dalam Negeri mengesahkan empat suspek telah ditahan untuk disoal siasat, termasuk seorang pakar restorasi muzium. Menurut kenyataan rasmi, pakar itu mengaku menyerahkan gelang berkenaan kepada seorang kenalan yang memiliki kedai perak di daerah Sayyeda Zainab, Kaherah.
Gelang tersebut kemudiannya dijual kepada pemilik bengkel emas dengan harga kira-kira AS$3,800 (RM15,997) sebelum berpindah tangan sekali lagi dan akhirnya dicairkan oleh seorang pekerja bengkel emas lain yang membelinya pada harga sekitar AS$4,000 (RM16,837).
Kesemua suspek telah mengaku bersalah dan wang hasil jualan dirampas. Kementerian turut menyiarkan rakaman kamera keselamatan yang menunjukkan seorang pemilik kedai menerima gelang itu, menimbangnya, lalu membuat bayaran kepada salah seorang suspek.
Kehilangan khazanah yang telah bertahan lebih tiga milenia ini amat menyentuh perasaan ramai rakyat Mesir, sebuah negara yang amat menyanjung warisan purbanya.
Peristiwa itu turut menimbulkan persoalan mengenai tahap keselamatan di muzium berkenaan dan mencetuskan desakan agar langkah pengawasan terhadap artifak berharga negara diperketatkan.