Zara Qairina Mahathir
KOTA KINABALU: Pelajar A, salah seorang remaja yang sebelum ini didakwa atas tuduhan mengeluarkan kenyataan mencela pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir akan menyambung keterangannya di Mahkamah Koroner, esok.
Menurut Utusan Malaysia, pada ketika ini, pelajar terbabit masih disoal oleh peguam Shahlan Jufri yang mewakili ibu remaja terbabit, Noraidah Lamat.
Bagaimanapun, intipati keterangan Pelajar A tidak didedahkan ekoran remaja bawah umur itu dilindungi Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak 2001 menyatakan media tidak boleh mendedahkan nama, alamat, institusi pendidikan atau apa-apa butiran mana-mana kanak-kanak; tidak kira saksi, mangsa atau tertuduh, yang mungkin membolehkan kanak-kanak tersebut dikenalpasti.
Selain Pelajar A, turut dilindungi di bawah peruntukan undang-undang yang sama ialah 34 orang lagi saksi kanak-kanak yang akan memberi keterangan dalam inkues kematian Zara Qairina itu.
Terdahulu, sebelum saksi berkenaan mula memberikan keterangan, Koroner Amir Shah Amir Hassan mengeluarkan surat tunjuk sebab kerana menghina mahkamah kepada Presiden Parti Warisan (WARISAN), Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal atas kenyataan yang dibuat berhubung inkues kematian Zara Qairina.
Mohd. Shafie merupakan individu kedua yang dikenakan notis tunjuk sebab kerana menghina mahkamah berkaitan dengan inkues kematian remaja terbabit.
Pada 10 September lalu, Jabatan Peguam Negara telah mengeluarkan notis serupa terhadap aktivis, Che Muna Din atau lebih dikenali sebagai Mona Din.
Dalam hantaran di laman sosial Facebook milik wanita berkenaan, Mona Din antara lain mempertikaikan keterangan Pakar Patologi Forensik, Hospital Queen Elizabeth di sini, Dr Jessie Hiu yang berpotensi mempengaruhi pandangan awam serta mengganggu perjalanan prosiding inkues yang sedang dijalankan.
Mohd. Shafie yang juga Ketua Pembangkang Undangan Negeri (DUN) Sabah didakwa telah mengeluarkan kenyataan antara lain menyatakan kematian Zara Qairina adalah satu pembunuhan dan mempersoalkan tatacara siasatan polis dan pakar patologi forensik dalam satu majlis di Sandakan, Sabah.
Koroner mengeluarkan notis tersebut selepas kesemua pihak yang terlibat termasuk Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya yang bertindak sebagai pegawai pengendali tidak mengemukakan sebarang bantahan.
Permohonan tersebut dibuat oleh peguam Datuk Ram Singh yang merupakan salah seorang peguam mewakili Pelajar A pada prosiding yang dijalankan secara tertutup hari ini.
Ram ketika ditemui media memberitahu, Koroner memerintahkan agar notis itu dikeluarkan oleh pegawai pengendali pada hari ini dan perlu diserahkan kepada Mohd. Shafie secepat mungkin.
“Apa yang dinyatakan oleh Mohd. Shafie yang dirakam pada satu majlis makan malam, Jumaat lalu di Karamunting, Sandakan pada asasnya adalah satu penghinaan mahkamah.
“Koroner dan Jabatan Peguam Negara telah mengeluarkan kenyataan di mahkamah dan media bahawa mana-mana pihak, tidak kira orang awam dan ahli politik dilarang daripada mengambil tindakan yang boleh mengganggu perjalanan inkues,”kata Ram.
Jumaat lalu, prosiding inkues terpaksa ditangguhkan selepas Mahkamah koroner dimaklumkan mengenai kebocoran maklumat mengenai Pelajar A termasuk alamat tempat tinggalnya.
“Kenyataan yang dibuat oleh Mohd. Shafie yang memberi gambaran bahawa kematian Zara Qairina adalah satu kes bunuh akan mengganggu saksi kanak-kanak dan boleh menimbulkan keresahan di kalangan mereka.
“(Ketika memberi keputusannya) Koroner turut menyatakan bahawa Mohd. Shafie perlu memberi penjelasan kenapa beliau tidak boleh dikenakan tindakan menghina mahkamah ekoran kenyataan yang dibuatnya. Koroner menyatakan, kes membabitkan kematian seseorang dan ia bukanlah satu perkara main-main,”kata peguam itu.
Sementara itu, seorang lagi peguam, peguam Azhier Farhan Arisin turut memberitahu, rakaman kenyataan yang dibuat oleh Mohd. Shafie telah ditayangkan dalam mahkamah pada hari ini.
Tambahnya, kesemua pihak yang terlibat termasuk peguam mewakili keluarga Zara Qairina tidak membuat sebarang bantahan terhadap permohonan yang dibuat oleh Ram itu.


































