Badrul Hisham Juhari
KOTA KINABALU: Pergerakan Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian N.59 Sukau menegaskan bahawa kekuatan serta semangat perjuangan parti di kawasan itu kekal utuh dan tidak terjejas dengan tindakan Datuk Saddi Abdul Rahman yang memilih untuk meninggalkan parti bersama beberapa penyokongnya.
Ketua Pemuda Gagasan Rakyat Sukau, Badrul Hisham Juhari berkata, pihaknya memandang keputusan tersebut sebagai sesuatu yang mengecewakan, khususnya ketika seluruh jentera parti sedang bersiap sedia menghadapi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) Sabah.
“Namun bagi kami, tindakan ini sebenarnya memperlihatkan wajah sebenar mereka sebelum gelanggang PRN17 bermula,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, selama ini individu berkenaan menikmati pelbagai keistimewaan hasil pelantikan dalam Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), termasuk memegang jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan memberi ruang kepada penyokong sendiri di peringkat daerah.
“Ironinya, setelah menikmati segala kelebihan itu, kini mereka memilih untuk menentang kerajaan yang sama — tanpa alasan kukuh dan tanpa rasa tanggungjawab kepada rakyat,” katanya.
Menurut Badrul Hisham, Pemuda Gagasan Rakyat Sukau menerima keputusan itu dengan terbuka dan menganggapnya sebagai peluang untuk memperkukuh barisan parti yang benar-benar setia terhadap perjuangan GRS.
“Kami ucapkan terima kasih kerana keluar daripada parti. Sekurang-kurangnya tindakan itu membuktikan apa yang sudah lama rakyat lihat — sikap pengkhianat politik yang tidak pernah serik berpindah arah,” katanya.
Beliau turut mengimbas rekod politik Saddi yang sering bertukar parti, daripada UMNO ke Warisan, kemudian menjadi wakil rakyat bebas, menyertai Gagasan Rakyat dan kini kembali semula ke Warisan.
“Segala tindakan ini jelas menunjukkan perjuangan mereka bukan untuk rakyat, tetapi demi kepentingan peribadi dan kuasa yang telah hilang,” tegasnya.
Dalam masa sama, Badrul Hisham menegaskan bahawa langkah tersebut tidak memberi sebarang kesan besar terhadap persiapan jentera Gagasan Rakyat di Sukau menjelang PRN Sabah.
Beliau berkata, sepanjang tiga tahun memegang jawatan Timbalan Ketua Bahagian, Saddi dilihat kurang komited memperjuangkan parti di peringkat akar umbi dan lebih gemar bertindak secara individu, khususnya dalam isu pembangunan Pekan Baru Sukau.
“Rakyat kini semakin bijak menilai dan sudah muak dengan gaya politik berpusing arah,” katanya.
Menurutnya, Pemuda Gagasan Rakyat Sukau kekal teguh di belakang Ketua Bahagian, Dato Juhari Janan yang juga calon tunggal GRS bagi kerusi N.59 Sukau.
“Pemuda telah memperkukuh jentera di setiap peringkat dan bersiap siaga menghadapi siapa sahaja lawan dalam PRN17 nanti,” katanya.
Badrul Hisham yakin semangat kesetiaan dan perjuangan berteraskan rakyat akan memastikan kawasan Sukau kekal sebagai kubu kuat GRS, sekali gus menyumbang satu lagi kerusi penting bagi mengekalkan kerajaan GRS menerajui Sabah ke arah kestabilan dan kemajuan.
“Inilah masanya untuk kita buktikan bahawa kesetiaan bukan diukur dengan kata-kata, tetapi dengan perjuangan yang tidak goyah biarpun diuji.
Jangan biarkan perjuangan ini diracuni oleh mereka yang hanya hadir ketika berkuasa tetapi menghilang apabila kepentingan diri tidak lagi terpenuhi. Kita kekal bersama GRS kerana perjuangan ini bukan untuk individu, tetapi untuk masa depan rakyat Sukau dan negeri Sabah yang tercinta,” katanya.
































