Haji Hajiji Haji Noor
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri membatalkan sambutan peringkat negeri Hari Malaysia yang dijadualkan berlangsung esok malam di Padang Merdeka berikutan krisis bencana meluas akibat hujan lebat berterusan yang menjejaskan sekurang-kurangnya tujuh daerah di Sabah.
Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor berkata, beliau telah memaklumkan perkara itu kepada Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman hari ini.
“Keutamaan segera Kerajaan Negeri adalah untuk mengurus krisis, menyelaras usaha pemulihan serta memastikan operasi menyelamat dijalankan tepat pada masanya bagi membantu komuniti yang terjejas.
“Dalam saat kesukaran ini, kesejahteraan, kebajikan dan keselamatan rakyat adalah yang paling penting. Segala fokus dan sumber mesti diarahkan kepada mereka yang terkesan,” katanya.
Hajiji turut mengarahkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri agar sentiasa berada dalam keadaan siap siaga penuh dan bertindak segera mengikut perkembangan keadaan semasa yang masih dilanda cuaca buruk.
Jawatankuasa yang dipengerusikan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Sr. Safar Untong kini mengadakan mesyuarat sepanjang masa bagi memantau situasi serta menyelaras tindakan segera di daerah-daerah terjejas.
Ketua Menteri turut menyeru orang ramai supaya terus berwaspada, mematuhi arahan keselamatan dan memberikan kerjasama penuh kepada pasukan penyelamat berikutan usaha menyelamat yang sedang dipertingkatkan di seluruh negeri.


































