James (kiri) berbincang dengan Ramanan.
PUTRAJAYA: Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk James Ratib mengadakan kunjungan hormat kepada Menteri Sumber Manusia, Dato’ Sri Ramanan Ramakrishnan di sini kelmarin bagi membincangkan hala tuju kerjasama strategik antara Kerajaan Sabah dan Kerajaan Persekutuan dalam memperkasa pembangunan sumber manusia.
Dalam pertemuan tersebut, James mengemukakan cadangan dasar tegas supaya lesen majikan tidak diperbaharui sekiranya gagal menyediakan latihan sewajarnya kepada pekerja.
Cadangan itu bertujuan memperkukuh budaya latihan berterusan dalam sektor pekerjaan serta memastikan setiap majikan memainkan peranan aktif dalam pembangunan kemahiran tenaga kerja.
Beliau berpandangan penyediaan latihan bukan lagi satu pilihan, sebaliknya satu tanggungjawab yang perlu dipenuhi bagi menjamin peningkatan produktiviti, daya saing industri serta kebolehpasaran pekerja, khususnya dalam menghadapi perubahan teknologi dan tuntutan pasaran semasa.
Cadangan berkenaan disambut baik oleh Ramanan sebagai langkah progresif ke arah memperkukuh ekosistem pembangunan modal insan negara.
Selain itu, perbincangan turut menyentuh cadangan pengwujudan sebuah pusat pemulihan Kementerian Sumber Manusia di Sabah sebagai pusat intervensi dan latihan semula (reskilling) bagi memperkasa tenaga kerja tempatan.
Inisiatif tersebut dilihat berpotensi menjadi pemangkin kepada pembangunan kemahiran yang lebih tersusun dan menyeluruh di negeri ini.
James berkata, kementeriannya komited untuk terus memperkukuh kerjasama dua hala bagi memastikan agenda pembangunan modal insan Sabah dilaksanakan secara strategik, inklusif dan berimpak tinggi selaras dengan aspirasi negeri serta negara.
Turut hadir ialah Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia, Datuk Azman Yusof, serta Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia (Dasar dan Antarabangsa), Dr. Mohd. Shaharin Umar.


































