Jamawi (kiri) bersalaman dengan Jumain.
KOTA KINABALU: Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar menyambut baik pelantikan Setiausaha Tetap (SUT) kementerian yang baharu, Datuk Jumain Abdul Ghani yang melapor diri di pejabatnya hari ini.
Jamawi berkata, beliau yakin sesiapa sahaja yang dipilih dan dilantik mampu menggalas tanggungjawab dengan baik sekiranya mendapat kerjasama, sokongan dan dokongan padu daripada seluruh warga kementerian.
Beliau turut mengingatkan semua jabatan dan agensi di bawah kementerian supaya memberikan komitmen sepenuhnya kepada SUT baharu demi memastikan kelancaran pentadbiran dan pelaksanaan dasar.
Menurutnya, kementerian yang diterajuinya merangkumi empat jabatan dan lima agensi, sekali gus memerlukan koordinasi serta semangat kerja berpasukan yang tinggi.

Jamawi (tengah) menyampaikan cendera mata kepada Jumain dan bergambar kenangan dengan semua yang hadir.
Jamawi menegaskan kepentingan kepimpinan (Ketua Jabatan) turun padang dan meluangkan masa di lapangan kerana banyak isu dapat dikenal pasti serta diselesaikan secara terus berdasarkan pemerhatian sendiri.
“Apabila kita berada di lapangan, lebih banyak perkara boleh diselesaikan berdasarkan keadaan sebenar,” katanya.
Jumain, 53, secara rasmi menggantikan Datuk Leonard Stephen Poyong yang akan bertugas di Unit Perancang Ekonomi Negeri Sabah (UPEN).
Beliau mempunyai pengalaman luas dalam perkhidmatan awam termasuk pernah berkhidmat sebagai Pegawai Daerah di Tambunan dan Ranau serta Penolong Pegawai Daerah di Telupid.
Sebelum pelantikan terbaharu itu, Jumain memegang jawatan sebagai Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS).
Terdahulu, beliau turut menghadiri taklimat ringkas mengenai kementerian yang disampaikan oleh Timbalan Setiausaha Tetap I (Tanaman dan Infrastruktur), Awang Dzulkernain Awang Hassan bersama ketua-ketua jabatan berkaitan.
Sementara itu, Jumain merakamkan penghargaan kepada Ketua Menteri atas kepercayaan yang diberikan kepadanya untuk menggalas jawatan berkenaan.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada Ketua Menteri di atas pelantikan ini. Saya sedar tanggungjawab ini amat besar dan amanat yang dipikul juga berat. Pelantikan sebagai SUT MAFFI amat dekat di hati saya,” katanya.
Beliau turut memberi komitmen untuk terus bekerja keras dalam merealisasikan misi dan visi kementerian.
“Bukan mudah, tetapi tiada yang mustahil,” katanya.
Selepas itu, Jamawi bersama Jumain mengadakan pertemuan singkat dengan Leonard di pejabatnya.


































