PUTATAN: Kepelbagaian juadah makanan, minuman serta kuih-muih yang ditawarkan menjadikan bazar Ramadan di Putatan terus menjadi tumpuan pengunjung sepanjang bulan puasa.
Ahli Parlimen Putatan, Datuk Ir. Shahelmey Yahya berkata, kemeriahan bazar berkenaan bukan sahaja merancakkan lagi aktiviti jualan para peniaga, malah sudah menjadi rutin masyarakat setempat dan luar daerah untuk datang mendapatkan juadah berbuka puasa.
Menurut beliau, situasi itu sekali gus memperlihatkan Putatan kekal sebagai antara lokasi bazar terkemuka di Sabah dan sentiasa mendapat tempat di hati pengunjung.
“Dengan adanya bazar-bazar yang ada di Putatan ini, nampaknya ia secara berterusan menjadi lokasi yang wajib dikunjungi oleh mereka yang mahu membeli juadah berbuka puasa.
“Kita juga dalam masa sama mengingatkan para peniaga supaya menjaga kualiti makanan dan minuman yang dijual selain meletakkan harga yang munasabah untuk dibeli oleh pelanggan.
“Saya berharap, dengan keunikan pelbagai juadah yang dijual di bazar tersedia di Putatan ini, ia terus meletakkan daerah ini sebagai lokasi yang menarik minat penggemar juadah berbuka dan pada masa sama membuka peluang kepada para peniaga menambah pendapatan mereka,” katanya selepas mengadakan sesi walkabout di Bazar Ramadan Peladang dan Bazar Ramadan Legend Golden Centre Putatan, di sini, kelmarin.
Shahelmey yang juga Pengerusi Sabah Oil and Gas Development Corporation (SOGDC) turut meluangkan masa menyantuni peniaga serta pengunjung bagi meninjau sendiri suasana dan operasi jualan di kedua-dua lokasi berkenaan.
Hadir sama dalam program itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat, Shah Alfie Yahya; Pegawai Khas Operasi Parlimen, Ir. Ummar Ariff Abu Bakar; Pegawai Khas Kanan Parlimen Putatan, Mohd. Sufian Matin; serta Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Tanjung Keramat, Latip Jiar.
































